Malaysia Dateline

Projek Musang King di Gunung Inas: SPRM tangguh dahulu siasatan sehingga ada maklumat baharu diterima

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menangguhkan dahulu siasatan berhubung projek tanaman durian Musang King berskala besar di Gunung Inas sehingga menerima maklumat baharu.

Pengarahnya, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, berkata, penelitian ke atas laporan Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 bagi melihat sebarang perkara yang boleh dikaitkan setakat ini tidak ada.

“Jika ada (maklumat baharu), kita boleh mulakan siasatan semula, namun ia perlu dilakukan mengikut bidang kuasa SPRM,” dipetik BH.

Beliau berkata, penelitian terhadap hampir semua minit Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah berkaitan projek itu juga mendapati tiada unsur penyelewengan dalam keputusan kerajaan negeri melaksanakan projek tanaman di gunung itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan siasatan lanjut berkaitan projek ladang durian itu jika mendapat maklumat baharu yang boleh dikaitkan dengan bidang kuasa SPRM.

“Setakat ini, tiada laporan rasmi dibuat kepada SPRM berkaitan kes ini. Sebaliknya, kita yang mengambil inisiatif memulakan siasatan, termasuk ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan dokumen berkaitan,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, bencana banjir lumpur dan aliran puing di Kampung Iboi dan perkampungan di hilirnya pada 4 Julai lalu telah mengorbankan tiga nyawa dan mengakibatkan 17 rumah musnah.

Dalam masa sama, seramai 3,546 penduduk terjejas dengan jumlah kerugian mencecah RM26 juta.

Susulan itu, SPRM Kedah pada 10 Julai lalu mengumumkan bermulanya siasatan bagi melihat kemungkinan berlaku perbuatan salah laku sehingga menyebabkan berlakunya tragedi itu.

Baca juga JAS baru terima permohonan bulan lalu tetapi ladang sudah penuh pokok durian

Baca juga Suka hati je nak undur sebab terlepas simpang, lelaki bengang hon kenderaan sampai jalan