Malaysia Dateline

Guru besar cuai tinggal wang Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM100,000 dalam kereta, polis giat cari penyamun

Simpan duit berjumlah RM100,000 di bawah kerusi penumpang, guru besar sebuah sekolah di Beranang putih mata selepas kereta dirompak.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan membeli air di kedai bersebelahan bank dan keretanya diparkir kurang 30 meter dari bank.

Duit tersebut adalah wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dikeluarkan dari sebuah bank tempatan di Pekan Semenyih pada pukul 10.10 pagi semalam.

Disebabkan kecuaian guru terbabit, polis kini giat memburu penyamun yang melarikan wang bantuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, berkata satu aduan telah diterima pada 12.17 tengah hari daripada mangsa, lelaki tempatan berusia 50 tahun dan merupakan guru besar di sebuah sekolah di Semenyih.

Hasil siasatan pihak polis Mohd. Zaid berkata, mangsa yang berseorangan ketika kejadian telah mengeluarkan wang BAP berjumlah lebih kurang RM100,000 dari sebuah bank di kawasan Kampung Baru Semenyih.

“Selepas selesai urusan, mangsa meninggalkan wang itu yang disimpan dalam sebuah beg, di dalam keretanya jenis Toyota di bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang, sebelum ke sebuah restoran untuk membeli minuman.

“Selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, mangsa dapati cermin kereta miliknya telah dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg yang berisi wang tunai tersebut telah dicuri,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Baca juga: Teka teki pengeluaran KWSP 2.0 terjawab, ini jawapan tegas Perdana Menteri