Malaysia Dateline

Hairan pelanggan berkurang? 6 sebab ini wajib pemilik restoran, peniaga makanan ambil tahu

Jika anda sebagai pemilik restoran atau peniaga makanan hairan pelanggan berkurang, cuba teliti apa yang menyebabkan mereka tawar hati untuk singgah lagi di premis perniagaan anda.

Ikuti 6 sebab mengapa pelanggan tidak lagi berminat untuk menjamu selera di kedai makan anda walhal makanan dah sedap:

1. Macam roh

Terasa diri macam roh. Peniaga atau pelayan tak nampak pelanggan duduk nak order. Pelanggan melambai dah macam tangan polis trafik yang jaga jalan raya sesak waktu petang.

Servis lambat. Berkali-kali kena panggil, baru datang ambil order. Lebih stres, order lain, dapat lain.

Pelayan yang datang ke meja pun buat muka ketat dan mencuka. Ada pelayan juga layan cermin makeup. Lagi teruk, tauke di meja kaunter bayaran pun leka layan TikTok.

Cukuplah pergi ke kedai yang buat pelanggan macam minta sedekah nak order makanan.

2. Kotor

Meja berlengas. Letak tangan saja, alamak! Kain lap meja pun macam dah berkurun tak tukar. Kerusi makan untuk bayi pula bersemut dan masih ada sisa makanan bukti tidak dilap.

3. Bising

Busking! Kadang-kadang ada busking memang spoil suasana. Bingit telinga. Lagu kuat macam buat konsert. Bukan nak pertikai rezeki orang, tapi nak menyembang pun macam bertekak dengan kawan.

Tambah nak makan dengan ahli keluarga. Memang terganggu, bising. Kalau lagu itu perlahan, tak mengapa lagi. Ini macam nak jamming.

Di Kuala Lumpur, pelanggan di restoran juga kadangkala didatangi pasangan orang kulit putih bersama anak kecil mereka sambil meminta derma.

4. Tiada Kod QR

Ada kedai makan tak guna Kod QR. Payah bagi mereka yang tidak gemar membawa wang tunai yang banyak.

5. Tisu atas meja

Pemilik restoran nampak benar bakhil. Tisu tiada atas meja. Jadi satu kerja pula pelanggan terpaksa bangun mencari tisu di meja-meja sekelilingnya.

Eh, tiada. Rupa-rupanya bungkusan tisu hanya ada di kaunter bayaran. Kena pula tunggu dia habis kira caj terhadap pelanggan, sebelum dapat tisu beberapa helai.

6. Dah tutup

Tak boleh buat apa. Kedai dah tutup! Pemilik tidak dapat teruskan perniagaan. Kos bahan mentah melambung. Kos sewa melonjak. Pekerja berkemahiran pula susah nak dapat.

Baca juga Babi jadi ’emas’ – Kadar inflasi di negara ini tertinggi dalam dua tahun

Baca juga Umur 100 tahun, tapi doktor ini tetap nak kerja