Malaysia Dateline

Hakim yang telus menggambarkan proses keadilan yang tidak dibayangi rasa gentar pada sesiapa

Dalam sistem keadilan, hakim merupakan watak penting dan mempunyai peranan besar dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, sistem penghakiman yang telus menggambarkan proses keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa

Justeru titahnya, sebarang bentuk keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan.

“Dalam usaha mewujudkan Institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti dan berwibawa, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan dan kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan Hukum Syarak dapat ditingkatkan,” titah Sultan Nazrin sewaktu melancarkan Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol.1 2022.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Hakim Syarie Negeri, Ab. Rahman Thobroni Mohd Mansor serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Baginda bertitah penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada para pengamal undang-undang.

“Alasan penghakiman juga, menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan yang diumumkan, bagi menilai kembali sama ada ingin meneruskan niat mereka untuk merayu atau sebaliknya.

“Sekiranya asas dan sandaran penghakiman itu lemah, perayu berhak untuk berhujah bahawa hakim telah terkhilaf dalam penghakimannya dan memohon untuk kesnya dinilai semula di mahkamah yang lebih tinggi.

“Peluang rayuan merupakan hak yang dijamin oleh undang-undang, menjadi medan bagi hakim-hakim mahkamah yang lebih tinggi untuk menilai semula alasan penghakiman yang diputuskan oleh hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah; sama ada berlaku kekhilafan atau sebaliknya,” titah baginda.

Titah baginda, sejarah membuktikan bahawa Rasulullah SAW mengiktiraf dan memberi ruang kebebasan kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal yang diutus sebagai wakil ke Yaman untuk berijtihad dengan kemampuan ilmunya dalam menjatuhkan hukuman sekiranya sesuatu perkara itu tidak terdapat dalam al-Quran mahupun As-Sunnah dengan baginda tidak mempengaruhi pemikiran Muaz dalam berijtihad atau campur tangan dalam penghakimannya.

Sultan Nazrin bertitah, marhum ayahanda baginda, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada suatu ketika turut pernah bertitah dalam ucapan perasmian Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 yang menyatakan maksud bahawa kewujudan hakim serta mahkamah dalam sesuatu kelompok masyarakat tidak membuktikan apa-apa nilai melainkan jika kualiti, kebebasan, dan kuasa entiti terbabit diambil kira.

Sultan Nazrin bertitah baginda selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam, mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini demi kepentingan keadilan.

Baca juga: Tinggal di luar negara tak seindah yang disangka, wanita ini cerita banyak benda yang berbeza dengan Malaysia

Baca juga: Terbangkan dron pada sambutan Hari Kebangsaan tanpa kelulusan boleh didenda RM500,000