Malaysia Dateline

Terbangkan dron pada sambutan Hari Kebangsaan tanpa kelulusan boleh didenda RM500,000

Tindakan menerbangkan dron pada sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini tanpa kebenaran pihak berkuasa boleh didenda RM500,000.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semua pengendalian aktiviti dron di negara ini adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Arahan Penerbangan Awam Civil Aviation Directives (CADs)

Oleh iti, orang ramai dinasihatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini dapat diraikan dengan selamat.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi CAAM hari ini berkata perkara ini juga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalankan penerbangan formasi rendah di kawasan tersebut.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta 3, memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi Peraturan 206(3) MCAR 2016, jika orang itu ialah seorang individu, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan akan didenda tidak melebihi RM100,000,” menurut CAAM, dipetik Bernama.

Baca juga: Adakah Air Force berjaya mengatasi Mat Kilau? Ini ‘review’ dari seorang Mejar

Baca juga: Selepas buat babak cium dalam Abg Long Fadhil 3, Lizzy harap ada babak lebih lagi dari itu