Putrajaya mencatatkan masalah obesiti atau gemuk tertinggi dalam kalangan orang dewasa, iaitu sebanyak 45.8 peratus ketika pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu mempunyai 11 taman indah dan tasik.
Jangan nanti wilayah yang cantik lagi gah dengan persekitaran hijau dan mesra untuk gaya hidup sihat tetapi digelar ‘obes-city’ (bandar gemuk) akibat ramai penduduknya mempunyai kadar lemak yang tinggi.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2019) menunjukkan prevalen obesiti dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas adalah 19.7 peratus manakala 30.4 peratus individu dewasa mengalami berlebihan berat badan.
Ini bermakna satu daripada setiap dua orang dewasa Malaysia (50.1 peratus) berlebihan berat badan dan obes.
Daripada jumlah itu, masalah kegemukan dalam kalangan penjawat awam yang bekerja di agensi jabatan kerajaan mencecah 41.4 peratus!
Apa kata mulai minggu ini, penduduk Putrajaya dan sekitarnya dengan 90 peratus penduduk daripada kira-kira 100,000 penghuni adalah anggota pentadbiran awam rajinkan diri paksa kaki untuk keluar beriadah.
Menerusi laman web Perbadanan Putrajaya, terdapat 11 kawasan taman, tasik dan wetland di wilayah yang asalnya dikenali dengan nama Prang Besar ini.
Malaysia Dateline memilih tiga taman yang wajib penduduk Lembah Klang lebih-lebih lagi penghuni Putrajaya jadikan sebagai lokasi riadah seperti berjalan, berjoging dan berbasikal:
1. Taman Wetland
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Taman Wetland di Presint 13 berkeluasan 335.75 ekar ini membawa anda menyusuri kawasan tanah lembab yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.
‘Waze’ saja ‘Tasik Angsa’ dan parkir kenderaan di situ. Anda boleh berbasikal atau berlari sambil menghirup udara segar pagi hujung minggu di kawasan yang menjadi tumpuan lebih 59 spesis burung penghijrah.
Kebiasaannya burung-burung itu antaranya Helang Baza Hitam, Pekaka Citcit, Tirjup Padang (Brown Shrike), Eastern Crowned Warbler dan Daurian Starling lebih kerap dijumpai antara bulan November hingga Februari.
Terdapat tiga laluan denai (trail) boleh dicuba dengan kesemuanya berjarak hampir 18 km iaitu Flamingo (9.1 km), Heron (5.4 km) dan Pelican (3.3 km).
Beriadah di sini bermakna ada berada di ‘buah pinggang’ Tasik Putrajaya yang menapis air dari Sungai Chuau dan Sungai Bisa sebelum mengalir masuk ke Tasik Putrajaya.
Terdapat 27 spesies tumbuhan akuatik di sini yang berfungsi bagi tujuan ‘menapis’ itu. Kalau anda ada rezeki, berpeluang lihat sekumpulan individu menunggang kuda.
2. Taman Saujana Hijau
Teringin berada dalam suasana di negara Eropah meskipun jasad di Malaysia? Taman Saujana Hijau di Putrajaya inilah tempatnya.
Rasailah pengalaman berjogging yang membahagiakan jiwa di lokasi indah dengan tiga bustan (taman) iaitu Bustan Inggeris, Bustan Oriental dan Bustan Eropah ini.
Landskap indah di taman ini dihiasi tumbuhan ‘fosil hidup’ yang wujud sebelum era dinosaur lagi antaranya pokok pine, juniperus dan thuja.
Pokok Tenasserim Pine, contohnya, bertabur di kawasan berbukit rendah sehingga ketinggian 800 meter di India, Burma, Thailand, Cambodia, Vietnam, Sumatera, Jawa dan Filipina.
Pokok yang boleh mencapai ketinggian sehingga 30 meter dan mengeluarkan damar berkualiti tinggi serta tumbuhan gymnosperma lain inilah mewarnai pemandangan menawan hati di Taman Saujana Hijau.
3. Taman Warisan Pertanian
Ada sawah di Putrajaya? Ya, sambil beriadah di Taman Warisan Pertanian, anda boleh melihat ‘bendang mini’ lengkap wakaf dan orang-orang.
Tidaklah hanya tahu makan nasi sahaja tetapi anda sudah kenal rupa pokok padi atau nama saintifiknya Oryza sativa dengan mengunjungi taman ini.
Berkeluasan 9 ekar, taman yang memelihara warisan dan pertanian Malaysia ini juga dusun yang menempatkan pelbagai pokok buah-buahan tempatan seperti rambutan, nangka, cempedak, koko, jambu, mempelam dan kuini.
Mungkin ‘tiada apa yang menarik’ bagi orang dewasa terutama berasal dari kampung tetapi bawalah anak-anak anda untuk mereka kenal rupa pokok dan hidu bau buah-buahan yang sedang masak.
Menariknya lagi, di taman ini juga terdapat plot getah yang merupakan kawasan asal ladang getah Estet Prang Besar iaitu tapak awal sebelum pembangunan Putrajaya.
Ladang getah ini mengandungi plot getah asal serta tanaman semula yang mengandungi 1,500 pokok getah dewasa dari 71 klon seperti RRIM600 dan PB260.
Baca juga Tak perlu ke belantara nun di Banjaran Titiwangsa, tengah KL pun ada hutan wajib datang
Baca juga Sanggup tipu orang tua, warga asing jual telefon bimbit palsu dengan harga 1.2 juta rupiah