Malaysia Dateline

Tak perlu ke belantara nun di Banjaran Titiwangsa, tengah KL pun ada hutan wajib datang

Bagi yang baru berjinak dengan dunia mendaki, anda tidak perlu lagi terus ke belantara nun di pedalaman Banjaran Titiwangsa sebaliknya jiwai dulu semangat kehijauan hutan di Taman Eko-Rimba Kuala Lumpur (TERKL).

Dulunya ia dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nanas. Kawasan yang bertindak sebagai ‘paru-paru hijau’ pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KL) ini boleh dianggap ‘saki-baki’ hutan hujan khatulistiwa.

Terletak di antara Jalan Ampang dan Jalan Raja Chulan, Bukit Nanas ini asalnya dipanggil Bukit Gombak.

Dikatakan bahawa KL adalah satu-satunya bandaraya dalam dunia yang masih ada hutan dara di tengah-tengahnya.

Di puncak Bukit Nanas inilah pernah berlaku perang. Dikatakan dahulu juga pernah tersergam istana dihuni raja-raja Melayu selain terowong di situ yang dipercayai sudah berusia 150 tahun.

Hutan ‘sejemput’ berbaki 9.37 hektar ini dahulunya diwartakan hutan simpan kekal pada tahun 1906. Di sini pun, masih ada sebatang pokok jelutong berusia kira-kira 100 tahun.

Saiz hutan ini dahulunya 17.5 hektar tetapi menyusut keluasannya kerana pembinaan Menara Kuala Lumpur.

Di TERKL ini, anda boleh merasai pengalaman berjalan sambil tentunya bergambar di jambatan gantung dan menyusuri denai hutan dengan memilih trail yang sesuai. Ada trail Merawan hingga trail Shorea.

Dibuka setiap hari jam 8 pagi hingga 6 petang, bagi warganegara dikenakan bayaran tiket RM10 untuk dewasa manakala hanya RM1 untuk warga emas dan kanak-kanak.

Bagi bukan warganegara pula, RM40 dewasa dan warga emas manakala hanya RM5 untuk kanak-kanak.

Baca juga Tiga hari cuti bermula esok tapi tak berduit pula, ini perkara boleh anda lakukan

Baca juga Pemanasan global makin serius, Ikon Ais Kutub Utara lihat sendiri banyak bongkah ais pecah dan hancur