Malaysia Dateline

Hanya janji manis paksa Ismail Sabri bubar Parlimen segera

Melihat kepada keputusan mesyuarat MT Umno petang semalam, tiga daripada empat ketetapan yang diputuskan sebagaimana diumumkan oleh Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan adalah semata-mata bertujuan memaksa Perdana Menteri, Ismail Sabri agar membubarkan Parlimen dengan kadar segera.

Ahmad Zahid Hamidi selalu Presiden Umno ternampak tidak boleh bersabar lagi mahu PRU-15 diadakan sesegera yang boleh dan ia mesti diadakan sebelum pemilihan Umno dilangsungkan yang tempoh akhirnya ialah 29 Disember tahun ini.

Tiga keputusan yang bermaksud demikian itu ialah:

1. Kedudukan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai 2022 diputuskan tidak akan diteruskan lagi.

2. Bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung Umno 2021 lalu, satu Perhimpunan Agung Umno Khas akan diadakan pada 14 Mei 2022 (Sabtu) bagi melakukan pindaan Perlembagaan Umno mengenai tempoh pemilihan parti. Pada hari yang sama juga akan diadakan Sambutan Hari Umno dan Jamuan Hari Raya Aidilfiti.

3. Majlis Kerja Tertinggi Umno juga sebulat suara mencadangkan agar Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

Sebagai desakan untuk menyegerakan PRU-15, termasuk mengambil langkah luar batasan iaitu memutuskan MoU tidak disambung lagi, tawaran agar Ismail Sabri tidak keberatan berbuat demikian, beliau turut dijanjikan gula-gula manis untuk diletakkan sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.

Harus diberi kesedaran kepada MT Umno bahawa MoU itu ialah antara kerajaan dengan PH dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri sekarang didukung oleh pelbagai parti, bukan Umno saja. Jadi, di mana kuasa Umno untuk memutuskan MoU itu tidak disambung lagi?

Persoalan juga, di sebalik Ismail Sabri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15, apakah selepas BN menang PRU-15 itu nanti, maka beliau akan tetap dipilih sebagai calon Perdana Menteri yang sebenar?

Menyetujui Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15 tidak lebih hanya meletakkannya sebagai “poster boy” untuk berdepan pilihan raya semata-mata dan bukan jaminan akan dipilih untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri selepas kemenangan diperolehi.

Contoh mudahnya ialah bagaimana Hasni Mohamad yang hanya diletakkan sebagai “poster boy” untuk menghadapi PRN Johor, namun calon lain akhirnya yang dipilih sebagai Menteri Besar selepas kemenangan berada dalam genggaman.

Yang penting sebenarnya bukan menjadi calon Perdana Menteri untuk menghadapi PRU-15, sebaliknya menjadi calon Perdana Menteri yang akan dinamakan selepas kemenangan dicapai itulah yang jauh lebih mustahak.

Lebih buruk lagi keadaannya kerana selepas PRU-15 nanti dan katalah BN benar-benar mencapai kemenangan, jawatan Presiden Umno masih lagi dipegang oleh Ahmad Zahid Hamidi.

Bolehkah kita yakin dan percaya Zahid Hamidi akan tetap meletakkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ketika beliau sebagai ketua parti yang memenangi pilihan raya dipanggil menghadap Agong nanti?

Lainlah jika Ismail Sabri yang menjadi Presiden Umno dan juga calon Perdana Menteri, barulah boleh diyakini apa yang dikata akan benar-benar dikota.

Keraguan tentang keputusan MT Umno bersetuju mencalonkan Ismail Sabri itu lebih terserlah lagi kerana Umno juga memutuskan untuk mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 14 Mei ini bagi meminda perlembagaan berkaitan persetujuan sebulat suara usul PAU 2021 baru-baru ini yang menetapkan pemilihan Umno hanya akan diadakan enam bulan selepas pilihan raya dilangsungkan.

Tidakkah maksud Perhimpunan Agung Khas itu ialah untuk memastikan Zahid Hamidi kekal berkuasa menentukan calon-calon dalam PRU-15 atas kedudukannya selaku Presiden Umno, seterusnya menentukan juga siapa calon Perdana Menteri selepas kemenangan dicapai dan menghilangkan sama sekali keupayaan Ismail Sabri untuk menangguhkan pilihan raya sehingga selepas pemilihan Umno diadakan?

Jika Zahid Hamidi benar-benar ikhlas untuk Umno dan kepada Ismail Sabri, selepas bersetuju mencalonkan Ahli Parlimen Bera itu sebagai calon Perdana Menteri, sepatutnya tidak perlu lagi diadakan Perhimpunan Khas bagi tujuan meminda perlembagaan parti.

Pindaan perlembagaan parti itu hanya bertujuan menjerat Ismail Sabri supaya tidak ada pilihan dan mesti akur kepada kehendak Zahid Hamidi.

Beliau seharusnya juga, selepas menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, memberi lebih ruang kebebasan kepada Naib Presiden itu untuk mengambil alih kepimpinan parti tanpa banyak halangan seiring dengan kedudukannya menerajui negara.

Bagaimana ada kestabilan jika nakhoda Umno dan negara diterajui oleh pemimpin yang berbeza?

Kesimpulannya, keputusan MT Umno itu hanyalah sekadar janji manis dan bukan jaminan yang bernilai kepada Ismail Sabri untuk terus dikekalkan sebagai Perdana Menteri lagi.

Baca Ismail calon PM: Apakah tragedi “barang order lain, barang sampai lain” di Johor bakal berulang?