Malaysia Dateline

Kes Kg Sungai Baru: Dakwaan Johari Ghani tidak benar

Dakwaan calon Barisan Nasional (BN) Titiwangsa Datuk Seri Johari Ghani yang berkata pengambilan tanah Kampung Sungai Baru dilaksana oleh sebuah syarikat swasta dan tidak ada kaitan dengan kerajaan adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru hanya boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan bukan oleh sebuah syarikat swasta, syarikat Ritzy Gloss.

“Bagaimana boleh dikatakan bahawa kerajaan tiada kaitan dengan pengambilan ini,” tanya calon Pakatan Harapan di Titiwangsa, Khalid Abdul Samad.

Sebelum ini Johari mendakwa pengambilan tanah penduduk Kampung Sungai Baru tidak ada kaitan dengan kerajaan.

Penduduk Kampung Sungai Baru membantah tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanh 1960 untuk merampas tanah mereka dengan memberikan pampasan yang rendah iaitu hanya RM500 sekaki persegi.

Mereka membandingkan tawaran RM1000 sekaki persegi yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada pemilik tanah Kampung Bharu yang terletak di sebelah kampung mereka.

Mereka juga tidak berpuashati dengan tindakan memaksa mereka menjual tanah itu apabila kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Kelmarin, Johari dalam kenyataannya berkata, bahawa kerajaan tidak ada kena mengena dalam pengambilan tanah itu kerana ia dibuat oleh syarikat swasta.

Namun Khalid, dalam sidang medianya membantah dakwaan itu kerana hanya kerajaan boleh menggunakan akta itu bukannya syarikat swasta.

Ketika kerajaan Pakatan Harapan berusaha membeli tanah di Kampung Bharu, Ahli Parlimen Bera ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri mengingatkan kerajaan bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak boleh digunakan untuk merampas tanah penduduk di situ kerana akta itu hanya boleh digunakan untuk kepentingan umum seperti untuk membuat hospital, sekolah dan seumpamanya.

Namun, ketika Ismail Sabri menjadi perdana menteri, kerajaan telah menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah penduduk di Kampung Sungai Baru untuk membantu sebuah syarikat bagi membuat projek pembangunan komersial.

BACA JUGA Jangan percaya kenyataan Hadi, ia sentiasa berubah, kata bekas timbalan

JUGA Anak muda cadang berdebat, tetapi Johari Ghani tolak

DAN JUGA ‘Telur pun tak pandai jaga, lagi mahu sembang ekonomi negara berkembang’