Tanggungjawab Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dipersoalkan ketika Covid-19 semakin menelan nyawa ramai rakyat di negara ini.
Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) berkata, Menteri Kesihatan harus bertanggungjawab dengan rekod ribuan rakyat yang meninggal dunia akibat pandemik tersebut.
“Semalam 17,000 kes jangkitan. Ribuan nyawa mati, bunuh diri. Di mana Menteri Kesihatan?” tegasnya pada Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mesti mengambil tanggungjawab di atas keadaan jangkitan yang membimbangkan pada masa ini.
“Setiap menteri sepatutnya bertanggungjawab. Perdana Menteri juga mesti mengambil tanggungjawab.
“Bagaimana kepimpinan Kabinet ini? Saya tidak pertikai Ketua Pengarah Kesihatan. Ini isu nyawa, rakyat ramai mati. Di mana tanggungjawab menteri?” soalnya.
Sehubungan itu, Salahuddin menegaskan Kabinet hari ini harus meletakkan jawatan sekiranya tidak bertanggungjawab.
“Hari-hari rakyat mati. Di mana Menteri Kesihatan? Kalau Kabinet tidak bertanggungjawab, you must go,” tegasnya lagi.
Setakat semalam, jumlah korban akibat pandemik Covid-19 di Malaysia menghampiri 8,000 kes iaitu 7,994 kes manakala 970 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 501 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.