Hari terakhir untuk pengundi buat keputusan pilih perdana menteri

Oleh KIM SYAZIE

Semakin rancak kempen di penghujung musim berkempen sebelum para pengundi membuang undi esok.

Kalau dikirakan bahan dan mesej kempen memang terlalu banyak dan telah disebar dalam kalangan pengundi sejak sebelum penamaan calon lagi.

Kini pengundi berhadapan dengan terlalu banyak mesej politik sehingga mungkin menjadi keliru, terutama dalam kalangan pengundi atas pagar, siapa atau parti mana yang hendak dipilih.

Mesej-mesej ini sarat dengan serangan ke atas pihak lawan bertujuan menarik sokongan kepada parti sendiri.

Namun menjelang hari mengundi, hanya tiga gabungan politik dan dua lagi di Sabah dan Sarawak masing-masing nampaknya menguasai perhatian rakyat yang akan turun mengundi.

Apa pun mesej yang disebarkan, nampaknya isu pokok kali ini menjurus kepada siapa yang patut menerajui kepimpinan negara, iaitu siapa yang akan menjadi perdana menteri.

Kali ini calon perdana menteri menjadi faktor paling utama yang perlu diberi perhatian oleh seluruh rakyat. Ini kerana kepimpinan utama negara menentukan arah tuju dan kemakmuran negara.

Selain itu, selama hampir 4 tahun yang lalu, Malaysia “terumbang-ambing” setelah tiga orang perdana menteri memimpin negara dalam tempoh tersebut.

Rata-rata rakyat melihat kepimpinan mereka kurang memberi faedah kepada negara terutama dari segi kemajuan ekonomi dan kebahagiaan rakyat.

Sebab itulah masing-masing gabungan politik menampilkan calon mereka untuk jawatan kerajaan nombor satu itu.

Dan dalam media sosial juga setiap gabungan ini bertubi-tubi merayu sokongan kepada calon mereka.

Di penghujung kempen, wujud serangan tidak wajar terhadap Anwar yang bersifat membunuh karakter

Cuma di penghujung kempen ini, terdapat serangan yang tidak wajar terhadap “front runner” ketika ini, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kebanyakan serangan ini bersifat peribadi atau yang dipanggil “character assassination” (pembunuhan karakter) ketika mana Anwar sendiri sibuk berkempen dalam jelajahnya bagi menerangkan tawaran-tawaran oleh Pakatan Harapan (PH).

Tiada masa untuk Anwar berhenti jelajahnya dan menjawab tuduhan-tuduhan tersebut satu persatu.

Semasa Anwar mencadangkan debat antara kesemua calon perdana menteri mewakili parti-parti ini, hanya Tan Sri Mahiaddin Md Yasin setuju.

Manakala calon yang ditonjolkan BN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan dan memberi alasan “debat bukan budaya kita”.

Harus diingat di pihak BN belum tentu Ismail akan diangkat menjadi perdana menteri sekiranya gabungan itu berjaya.

Dengan tidak berlaku debat antara ketiga-tiga calon yang mewakili gabungan masing-masing, rakyat terlepas peluang melihat sendiri siapakah yang paling berkaliber dalam memimpin negara.

Bagi saya penolakan debat daripada “poster boy” BN mengesahkan calon BN bukan sesuai sebagai Perdana Menteri.

Andai kata debat diadakan sudah tentu segala isu dan tohmahan yang timbul dalam media sosial dapat dijawab oleh panelis.

Propaganda murahan akan terbongkar sebagai propaganda semata-mata.

Pemilihan kali ini ialah untuk memastikan perdana menteri akan datang adalah seorang yang benar-benar berkaliber untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut ekonomi yang dihadapi.

Ia memerlukan seorang yang “visionary” dan berwibawa.

Baca juga: “Masuk undi esok jangan benci sesiapa kerana musuh sebenar kita rasuah, perkauman dan ketidakadilan”

Baca juga: Zarina Anjoulie tak kisah dikecam, buang tatu tidaklah sesakit yang digambarkan


Penulis adalah Felo Kanan, Nusantara Academy for Social Research.