Harta si mati tidak akan terus ke AmanahRaya seperti tanggapan masyarakat selama ini, kata Pengerusi Amanah Raya Bhd (AmanahRaya), Datuk Ramli Mohd Nor.
Beliau berkata, AmanahRaya masih memegang RM460 juta Wang Menunggu Dituntut (WMD) setakat akhir September lalu.
Menurutnya, WMD bukan harta beku seperti tanggapan orang ramai, sebaliknya wang tunai milik waris yang tidak dapat diserahkan atas sebab-sebab tertentu seperti waris berpindah atau alamat yang diberikan tidak tepat menyebabkan wang tidak dapat diserahkan oleh AmanahRaya.
“AmanahRaya hanya berperanan sebagai pemegang amanah kepada WMD ini sehingga serahan dibuat kepada waris yang sah.
“Ini berbeza dengan persepsi masyarakat yang menyatakan harta beku berada di AmanahRaya, yang mana ia adalah tidak benar sama sekali.
“Apabila seseorang meninggal dunia, hartanya masih di atas nama si mati sehingga pentadbiran pusaka dibuat oleh waris si mati,” lapor BH.
Setakat 30 September 2022, lebih 1.1 juta wasiat didaftarkan, 18,075 fail pentadbiran pusaka dan 24,314 akaun amanah dibuka di AmanahRaya.
Baca juga MET tidak jangkakan negara berdepan cuaca buruk luar biasa bagi tempoh seminggu ini
Baca juga TMJ nasihatkan Bangsa Johor untuk jaga tingkah laku