Malaysia Dateline

Hembus nafas terakhir pada rakaat ke-20 tarawih

Seorang bapa kepada tujuh anak menghembuskan nafas terakhir pada rakaat ke-20 solat tarawih berjemaah di Masjid Tunku Intan Safinaz, Kampung Lanai, Baling di Kedah kelmarin.

Sebelum itu, Zamri Saad, 51, pada sebelah petangnya ada mengadu pada jemaah lain bahawa beliau mengalami sakit dada.

Penduduk kampung, Hashim Osman, 51, berkata, ketika berbuka puasa arwah ada beritahu bahawa tidak boleh makan kurma kambing tetapi minta kebenaran untuk bawa balik sedikit lauk itu untuk anak-anak makan.

“Ketika solat arwah berada di barisan kedua di belakang imam, pada rakaat ke-20 sebelum tasyahud akhir, tiba-tiba dia rebah dan kami terdengar bunyi dengkuran yang agak kuat.”

“Jemaah sempat menghabiskan solat dan terus mendapatkan arwah yang ketika itu sedang nazak dan kami sempat mengajarnya mengucap syahadah,” lapor BH.

Sementara itu, isteri arwah, Rohani Mohd Noor, 51, berkata, suaminya ada mengajaknya untuk solat tarawih di masjid tetapi dia menolak kerana mahu solat di surau berdekatan rumah mereka.

“Sepanjang Ramadan, inilah kali pertama suami tergerak hati berbuka puasa di masjid, tak sangka dia akan dijemput Ilahi ketika solat tarawih di masjid itu,” ujarnya.

Rohani memberitahu suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali anak-anaknya mula perasan bapa mereka agak pendiam sejak akhir-akhir ini.

“Kira-kira pada jam 10 malam, abang ipar datang beritahu suami saya jatuh dan pengsan ketika solat.

“Saya terus mengajak anak kedua Nazirol, 20, ke masjid, anak saya masuk dahulu ke dalam masjid dan keluar semula beritahu bapanya sudah tiada,” jelasnya.

Menurut Rohani, suaminya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dan pernah dimasukkan ke Hospital Taiping pada 2019 kerana penyakit jantung.

“Suami saya sekarang sudah tidak bekerja kerana bimbang dengan keadaan kesihatannya, dia juga seorang suami yang sangat pentingkan keluarga.

“Anak-anak juga sudah membeli baju raya warna sedondon namun dia pergi dahulu, apa pun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Ditanya mengenai amalan suaminya, Rohani berkata, sepanjang Ramadan setiap tahun arwah sentiasa bangun malam menunaikan solat sunat tahajud dan solat sunat lain sehinggalah sampai waktu sahur .

Baca Peguam reformis meninggal dunia

Baca Isu menteri jadikan menteri isteri ke 4: Bekas kadi dakwa bantu pemimpin Pas tambah isteri