Henti polemik pilihan raya, fokus selesaikan masalah kos sara hidup rakyat, ekonomi negara

Oleh ARIF ATAN

Tindakan Presiden Umno menggesa agar pilihan raya diadakan segera merupakan tindakan biadab kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Padukan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 telah menitahkan agar semua pihak jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan politik untuk mencapai agenda tertentu.

Masalah rakyat hari ini ialah bebanan kos barangan harian melampau. Masalah kenaikan harga dan juga bekalan makanan terhad sepatutnya menjadi keutamaan sebenar kerajaan ketika ini dan bukannya pilihan raya.

Kenaikan mendadak kadar Inflasi makanan 4.1 peratus adalah di luar kawalan dan sangat menekan rakyat. Bak kata pepatah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ itulah yang sesuai untuk digambarkan
nasib rakyat ketika ini.

Kesan pandemik Covid-19 yang sangat dahsyat ke atas kehidupan rakyat sebelum ini dan hampir dua tahun rakyat dikurung menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan kerana banyak sektor perniagaan yang terpaksa gulung tikar terutama industri kecil dan sederhana (IKS).

Sikap Presiden Umno mementingkan tamak politiknya berbanding sengsara rakyat akan memusnahkan negara.

Hakikatnya, usaha kerajaan menangani masalah ekonomi negara dan rakyat pada ketika ini masih tidak kelihatan.

Pemansuhan permit import (AP) ke atas beberapa barang makanan, kawalan harga barangan dan usaha menangani inflasi masih dalam keadaan pra matang dan tidak menampakkan kejayaan.

Begitu juga dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit yang antaranya juga disebabkan oleh pendedahan skandal 1MDB masih belum dapat diatasi.

Jika semua permasalahan tidak difokuskan gara-gara tekanan politik melampau untuk pilihan raya, pasti ia memusnahkan generasi muda yang baru hendak memulakan kehidupan.

Mungkin Presiden Umno tidak terkesan dengan situasi hari ini, kerana beliau seorang yang kaya-raya.

Biarpun ayam, daging, sayuran dan lain-lain makanan asas harganya naik 100 peratus pun beliau tidak akan merasa apa-apa. Tetapi, bagaimana dengan nasib rakyat B40? Kais pagi makan pagi kais petang makan petang?

Pemuda AMANAH menggesa agar kepimpinan kerajaan, pembangkang dan wakil rakyat terus fokus penyelesaian masalah kos sara hidup dan ekonomi rakyat.

Jika masih ada pihak tertentu bermain polemik tarikh pilihan raya, maka Pemuda AMANAH Nasional tidak teragak-agak akan turun ke jalanan mewakili rakyat. Rakyat mahukan pembelaan dan bukannya pilihan raya.

*ABBAS AZMI merupakan Naib Ketua Pemuda Parti AMANAH Negara (AMANAH).

Baca juga Ini baru kisah 1 Jun, entah apa jadi tiga, empat bulan lagi

Baca juga Harga kereta dijangka meningkat jika GST dilaksanakan semula