Malaysia Dateline

Henti sebar video kibar bendera ‘komunis’ atau tindakan boleh dikenakan jika ingkar

Orang ramai dinasihatkan supaya berhenti menyebarkan video yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman serta boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Amaran polis itu susulan rakaman video tular memaparkan sekumpulan orang berarak sambil bermain alat muzik dan mengibar bendera yang didakwa bendera komunis.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, siasatan mendapati, video berdurasi 1 minit 18 saat dimuat naik di aplikasi TikTok itu adalah video lama yang ditularkan semula.

Jelasnya, rakaman lama tersebut dipercayai berlaku di Jalan Raja Uda Butterworth, di sini, pada Disember 2019.

“Video itu memaparkan perarakan oleh pertubuhan sukarelawan pada acara anjuran Exco Pembangunan, Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri.

“Ia ditularkan semula pada 9 November lalu bertujuan menimbulkan kegusaran orang awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, individu yang ingkar dengan amaran polis itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948.

Baca juga Agong titah Anwar, Mahiaddin menghadap selepas tiada yang peroleh sokongan majoriti

Baca juga Tiada pelakon berani bawa watak Anwar Ibrahim, Farid Kamil sahut cabaran