Malaysia Dateline

“Hidup berbilang bangsa, jagalah sikap!”- Lelaki Melayu dikecam sengaja pijak kolam Deepavali

Seorang lelaki Melayu selamba merosakkan hiasan perayaan masyarakat India dengan sengaja berjalan di atas Rangoli atau kolam Deepavali sehingga menimbulkan kemarahan pengguna media sosial.

Menerusi video tular berdurasi 37 saat, seorang lelaki berbaju Melayu lengkap bersampin sengaja memijak hiasan tersebut dan berjalan di atasnya sambil perbuatan itu dirakam seorang rakan.

Kejadian tersebut difahamkan berlaku di Hospital KPJ Healthcare dan lelaki itu dipercayai kakitangan hospital berkenaan.

“Kenapalah buat macam itu, tak baik. Akal letak di mana. Kan lebih baik kita hormat menghormati sesama kaum. Dahlah pakai baju Melayu, buat malu bangsa Melayu. Fikiran cetek sangat,” tulis seorang pengguna Facebook.

Bagaimanapun dilaporkan, lelaki berkenaan yang memuatnaik video itu di TikTok telah pun menetapkan ‘setting private’ kepada semua laman sosial medianya sehingga tidak boleh dilihat lagi.

Perkara tersebut kemudiannya mendapat perhatian pihak KPJ sendiri yang memaklumkan siasatan dalaman telah dilancarkan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap lelaki berkenaan.

Pihak KPJ juga bertegas bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap perlakuan kakitangan yang tidak beretika.

Pihak polis sudah ambil tindakan

Sementara itu Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan segera dengan memanggil individu berkenaan untuk hadir ke balai hari ini bagi membantu siasatan.

Vijaya Rao berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja memudaratkan, atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Pada Sabtu sekitar jam 7.45 malam, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara mengesan video tular di TikTok menunjukkan seorang lelaki sedang berjalan dengan kasut di atas (perhiasan) kolam.

“Sehubungan itu, Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang telah membuat satu laporan dan suspek akan dipanggil ke IPD Klang Utara esok,” katanya dalam kenyataan semalam.

Lelaki Melayu dikecam sengaja pijak kolam Deepavali

Antara komen pengguna media sosial di Facebook

Baca juga: 5 tawaran utama anak muda PH untuk generasi muda negara ini

Baca juga: Lelaki buat eksperimen tinggalkan ‘laptop’ di kafe untuk melihat adakah ia akan dicuri…dan ini yang terjadi