Malaysia Dateline

Hidup Tengku Maimun! – Rakyat doakan panel lima hakim terus diberi kekuatan

Media sosial hari ini dibanjiri dengan sokongan padu terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan empat panel hakim berhubung kes Najib Razak bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Rakyat banyak dilihat memuji ketegasan pasukan hakim terbabit apabila sepakat menolak permohonan Najib agar Tengku Maimun menggugurkan diri daripada perbicaraan rayuan akhir bekas Presiden Umno itu.

Tengku Maimun ketika menyampaikan keputusan panel hakim berkata, tiada hubung kait antara catatan Facebook suaminya, Zamani Ibrahim pada 2018 dengan rayuan akhir Najib.

Catatan tersebut, jelasnya, telah wujud sebelum bermulanya perbicaraan melibatkan Najib di peringkat Mahkamah Tinggi.

“Padu. Semoga Allah lindungi panel hakim”, tulis Malek Rahman manakala Zakri Ismail pula berkata, “Alhamdulillah, semoga barisan hakim terus diberi kekuatan dan dilindungi Allah SWT”.

Ramai juga netizen yang berharap panel hakim tidak perlu melayan tuntutan terdesak Najib yang mahu mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Dalam masa sama, orang ramai mula celik mata dengan sikap orang politik tertentu yang pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan terlibat dalam pengubahan wang haram.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi pada 2018. Kalau tidak, kami semua tak tahu dan akan terus ditipu.

“Allah sebaik-baik perancang. Moga panel hakim kesemuanya dikurniakan kesihatan yang baik. Amin,” kata Muhammad Azwan Danial.

Terdahulu, Najib mahu panel hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu ditetapkan untuk mendengar rayuan akhirnya itu susulan maklumat baharu membabitkan suami Tengku Maimun.

Bekas Pegerusi Barisan Nasional (BN) berkenaan mendakwa suami kepada Tengku Maimun yang mempengerusikan panel hakim itu menerbitkan hantaran di laman Facebook berhubung dirinya.

Untuk rekod, Tengku Maimun bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Baca juga Kes Najib cetus idea buat kartunis berkarya