Malaysia Dateline

Hujan sekali ganda lebih tinggi punca berlaku kepala air di Baling

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata berlaku taburan hujan sekurang-kurangnya sekali ganda lebih tinggi di kawasan tanah tinggi di Gunung Inas.

Sehubungan itu, katanya, struktur buatan dan semulajadi di kawasan tanah tinggi tidak dapat bertahan sehingga menyebabkan aliran debris (kepala air) berlaku.

Jelasnya, aliran kepala air khususnya berlaku dalam Sungai Kupang di Kampung Iboi hingga mengorbankan tiga nyawa dan merosakkan rumah serta harta benda lain.

Menerusi catatan di Facebook beliau, Zaini selanjutnya menggariskan penyelesaian untuk mengurangkan risiko banjir terutama di banyak kawasan hulu lembangan seperti di Janda Baik, Cameron Highlands dan Yan.

Menurutnya, apa sahaja kerja-kerja guna tanah di hulu lembangan sungai perlu dikawal selia dan membina benteng di tebing sungai yang berisiko banjir.

Dalam masa sama, penempatan baru bagi premis di kawasan rizab tanah perlu dilakukan, membina struktur sabo di hulu lembangan serta membina semula jambatan lama yang bertiang yang boleh merintangi aliran debris.

Dalam hal berkaitan, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebentar tadi memaklumkan seramai 627 penduduk dari 12 kampung terlibat dalam bencana kepala air di Baling.

Pemimpin Pas itu berkata, terdapat sembilan unit rumah musnah dihanyutkan arus manakala lebih lima buah rumah rosak teruk selain jambatan, jalan raya, tebing sungai dan utiliti musnah.

“Semua mangsa (tiga orang) yang dihanyutkan aliran kepala air semalam telah ditemui tersangkut pada timbunan reba kayu tidak jauh dari tapak rumah mereka yang dibawa arus,” katanya.

Sanusi turut memberitahu tiada tandak air masyarakat yang pecah, tetapi ditimbus pasir dan tanah yang dibawa aliran dari tanah tinggi di atas.

“Aliran air yang terkumpul membentuk alur alur besar, menunjukkan kapasiti air yang banyak terkumpul dan meluru ke bawah serentak,” tambahnya lagi.

Baca juga Banjir teruk di kaki Gunung Jerai

Baca juga Banjir teruk di KL, netizen mula anggap teori seluruh Malaysia tenggelam pada 2050 adalah benar