Malaysia Dateline

Ibu bapa, warga pendidik sokong petisyen tuntut keadilan untuk Cikgu Fadli Salleh

Satu petisyen telah dilancarkan bagi menuntut keadilan untuk Cikgu Mohd Fadli Salleh selepas guru sekolah rendah itu mendedahkan surat tatatertib daripadapihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Surat tatatertib yang dikeluarkan itu mendakwa Mohd Fadli akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat selepas bersuara berkenaan masalah pendidikan yang membebani pelajar dan warga pendidik.

Petisyen Tuntut Keadilan Untuk Cikgu Fadli Salleh yang dilancarkan sejak dua hari lalu melalui platform change.org itu, berjaya mengumpul hampir 25,000 tanda tangan.

Petisyen berkenaan antara lain menyatakan bahawa Cikgu Fadli Salleh merupakan seorang guru yang berusaha keras memastikan sistem pendidikan negara di landasan yang betul.

Justeru, selaku seorang guru, beliau menginginkan keadilan dalam sistem pendidikan negara dan petisyen itu mengajak orang ramai bersama dalam perjuangan Cikgu Fadli Salleh.

Setakat ini, sokongan yang ditunjukkan kepada Mohd Fadli di media sosial melangkaui sokongan dari warga pendidik sendiri apabila ibu bapa kebanyakan menyatakan sokongan terhadap guru muda berkenaan.

Seorang daripada guru yang menggunakan nama Shirley memberitahu bahawa kelemahan di dalam sistem pendidikan wajar ditambah baik untuk masa depan yang baik bagi murid.

Manakala seorang ibu bapa yang menggunakan nama Iman memberitahu bahawa Fadli Salleh merupakan guru yang sangat mementingkan pelajar dan mereka akan terus menyokong guru di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak ini.

“Beliau merupakan guru yang sangat mementingkan pelajar dan beretika..semoga beliau berjaya dalam perjuangan ini..kami ibubapa pelajar sentiasa bersama cikgu MFS,”.

Baca juga: Murid tahun dua pun dah kena jawab soalan KBAT tentang pekerjaan, ‘ini silibus syok sendiri’

Baca juga: Berjuang bela keadilan, kebajikan guru datang dari individu-Mana perginya kesatuan? Sepatutnya mereka di hadapan