Malaysia Dateline

Ibu empat anak raih pendapatan lebih RM300,000 hasil selongkar tong sampah

Seorang ibu kepada empat orang anak meraih pendapatan lebih RM300,000 (AS$80,000) dalam tempoh dua tahun dengan hasil jualan barangan yang dibuang ke dalam tong sampah.

Tiffany Butler, 32, dari Aubrey, Texas menghabiskan masa kira-kira enam jam sehari menyelongkar tong sampah milik kedai jenama mewah, lapor Daily Mail.

Wanita itu memberitahu menemukan pelbagai barangan terbuang antaranya kosmetik jenama mewah, perabot dan almari antik yang bernilai AS$3,000 (RM12,651).

Tiffany berjaya mengutip pelbagai produk kosmetik jenama mewah di tong sampah yang diselongkarnya.

Bahkan, ujarnya, dia tidak perlu lagi membeli alat solek mahupun produk kebersihan untuk keluarganya sejak tahun 2020.

Dia juga dapat mengumpulkan berkotak-kotak buku tidak terpakai yang boleh dijualnya hasil menyelongkar tempat pembuangan sampah di luar kedai buku Barnes and Noble.

Tiffany juga mengakui menghiasi seluruh rumahnya dengan barang-barang dijumpai dalam tong sampah termasuk katil kanak-kanak.

Susulan hasil lumayan diperolehnya, dia menubuhkan perniagaan sendiri dengan menjual semula barangan terbuang tong sampah termasuk pembersih hampagas, fon kepala, cincin, rantai dan juga makanan anjing.

Tiffany turut mempunyai gudang sendiri untuk menyimpan semua barangan yang diselongkar dalam tong sampah.

Dia juga mendokumenkan penemuan barangan yang ditemukannya di tong sampah melalui media sosial.

Malah, wanita itu mempunyai laman sesawang sendiri, DumpsterDivingMama yang menjadi platform untuk dia menjual semua barangan terbuang dari tong sampah.

Tiffany menyifatkan pasangannya Daniel dan empat anaknya – Kaylee, 18; Mia, 10; Blake, sembilan; Ruxton, lapan – kesemuanya menyokong usahanya.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/terlalu-ikut-peraturan-malaysia-mungkin-jadi-tong-sampah-dunia/

Baca juga: https://themalaysialife.com/2-kanak-kanak-mati-kerana-makan-dari-tong-sampah-kita-semua-bertanggungjawab/