Malaysia Dateline

Doktor di Hospital Kelantan didakwa abai pesakit, enggan beri rawatan atas alasan ‘banyak kerja’

Doktor di salah sebuah hospital di Kelantan didakwa tidak mengamal etika kedoktoran apabila enggan memberikan rawatan sewajarnya terhadap seorang budak lelaki yang mengalami pendarahan di muka.

Difahamkan, kejadian berlaku di Hospital Besar Pasir Mas, Kelantan. Sewaktu kejadian, budak lelaki itu dikatakan mengalami kecederaan di muka dengan kesan retakan di muka dan di dagu.

Bagaimanapun doktor yang bertugas waktu itu hanya memberikan jahitan di bahagian mulut dan dikatakan enggan melayan permintaan ibu yang meminta agar anaknya dimasukkan ke wad untuk pemantauan pihak hospital.

Menurut luahan si ibu, doktor berkenaan memberikan alasan katil tidak mencukupi dan jumlah pesakit yang tinggi, menyebabkan anaknya tidak dapat dimasukkan ke wad.

“Perasaan sebagai ibu terasa tidak yakin untuk membawa pulang kerana anak saya masih muntah dan tidak bermaya. Saya merayu agar anak saya dimasukkan ke wad untuk pantauan hospital.

“Doktor berkenaan menolak permohonan saya dengan alasan hospital kekurangan katil dan ramai pesakit.

“Berkali-kali saya merayu untuk anak saya ditahan tetapi tidak diendahkan kerana alasannya dia nak menyelesaikan kes lain,” katanya.

Luahan si ibu ini ada dikongsikan seorang pengguna Twitter @syafiqunzir yang merupakan sepupu kepada budak lelaki tersebut.

Bercerita lanjut, si ibu berkata suaminya juga cuba untuk memujuk doktor hospital berkenaan untuk membenarkan anaknya ditahan di wad, namun sebaliknya mereka menerima jawapan yang agak biadab dari ahli perubatan itu.

“Dengan angkuh dan sibuknya doktor tersebut menjawab; saya penat, banyak lagi patient saya nak tengok.. saya banyak kerja.

“Dengan kecewanya kami membawa anak kami dengan menaiki kenderaan sendiri menuju terus ke Hospital USM dengan keadaan anak muntah dan tidak tahu kondisi sebenar anak ketika itu,” kongsinya lagi.

Apa yang memeranjatkan, ibu kepada kanak-kanak lelaki itu memberitahu bahawa doktor di HUSM mendapati anaknya mengalami keretakan di bahagian muka dan dagu.

Jahitan awal di bahagian mulut juga terpaksa dibuka dan dijahit semula kerana jahitan itu sangat ‘daif’ menurut doktor.

Dia kemudian meluahkan rasa tidak puas hati bagaimana seorang doktor bertauliah boleh dengan sewenang-wenangnya membenarkan anaknya pulang ke rumah dalam kondisi yang agak parah.

Namun, dia mengatakan hal itu akan diadukan dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Baca juga: Mari nantikan satu-satunya peguam terakhir Siti Bainun, Siti Asiah muncul di mahkamah – Dr Malar