Cadangan Ketua AMANAH Bukit Bintang yang mendesak kepimpinan AMANAH dan parti-parti pembangkang yang lain mengambil ketetapan agar mewujudkan semula Pakatan Harapan (PH) Plus dan melantik Pengerusi PH Plus yang baharu adalah menyimpang dari semangat khemah besar dan juga grand coalition yang didukung oleh AMANAH.
Gesaan yang boleh menimbulkan perpecahan dalaman PH ini sebenarnya tidak akan memberi keuntungan sedikit pun kepada AMANAH dan PH.
Pimpinan atau mana-mana individu dalam parti seharusnya jelas hala tuju parti dalam satu satu usaha.
Walaupun Anwar Ibrahim gagal membawa kembali mandat, namun kegagalan itu tidak seharusnya digunakan untuk menimbulkan lebih kerosakan kepada PH.
Kegagalan mendapatkan kembali kerajaan adalah tewas satu pertempuran, namun bukan peperangan besar pada PRU-15 akan datang.
Merealisasikan idea khemah besar adalah seharusnya melalui desakan atau usaha diwujudkan untuk membawa Muda, Warisan, dan Pejuang bersama PH bagi mengukuhkan blok pembangkang berdepan PRU-15.
Walaupun idea ini tidak diterima baik oleh semua namun rasionalnya masih boleh dilihat berbanding gesaan untuk menukar Pengerusi tidak akan memberi apa-apa manfaat melainkan menimbulkan pergeseran dalaman PH.
Idea khemah besar adalah satu pendekatan oleh PH yang menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda Reformasi, demi kepentingan rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat.
Adalah pelik jika ada pihak gagal untuk sedar dan maklum bahawa kekuatan terbesar adalah pada gabungan trio PH iaitu PKR, DAP, dan AMANAH.
Penambahan kepada trio ini akan lebih menguatkan gabungan namun idea cuba menukar Anwar Ibrahim yang memegang blok terbesar Ahli Parlimen dalam komponen PH, adalah janggal, dan tidak berfikir panjang.
Dalam kalangan parti parti pembangkang, bermula dari PKR, DAP, AMANAH, Pejuang, Warisan, dan Muda, parti yang sudah bertapak dan mampu meneruskan survival sendirian hanya PKR, dan DAP, iaitu bermakna andai kata berdepan PRU, akan ada kerusi dimenangi mereka yang disebut kerusi tradisi walaupun bergerak solo.
Warisan mengikut dekat kedua parti terbabit memandangkan Shafie Afdal dalam tempoh singkat berjaya membina asas di Sabah sebagai parti tempatan.
Manakala buat AMANAH, Pejuang dan Muda, kesemuanya tidak ada bukti lagi mampu bertahan dalam keadaan situasi paling teruk untuk mengekalkan hatta satu kerusi pun.
Belum teruji
Bukan bermakna tiga parti ini tidak mampu tetapi ketiga-tiganya masih belum teruji berada dalam situasi paling teruk.
Jadi, adalah tidak berfikir panjang untuk membawa idea perpecahan bersama parti yang stabil kedudukan bertujuan untuk berada bersama parti yang belum terbukti kekuatan. Orang putih kata “nonsense”.
Berdepan PRU-15 yang boleh diadakan bila-bila masa sahaja, sebarang idea untuk memecahbelahkan PH adalah memberi manfaat cukup besar kepada musuh dan amat merugikan AMANAH itu sendiri.
Pimpinan Nasional saya cukup percaya faham dan maklum akan perkara ini namun sikap lancang sebilangan pimpinan bawahan tidak membawa merealisasikan idea khemah besar dan grand coalition sebaliknya merosakkan dari dalam.