Malaysia Dateline

Individu cerita pengalaman dijerat jadi scammer, dibayar RM4,500 jika setiap seorang rakyat Malaysia tertipu

Sejak kebelakangan ini semakin ramai yang membuat aduan telah terjerat menjadi mangsa scammer selepas terpedaya dengan panggilan telefon yang kononnya menyamar sebagai pihak berkuasa dalam negara.

Modus operandi yang begitu licik ini walaupun sudah diwar-warkan supaya tiada lagi mangsa terjerat, namun masih ramai yang terpedaya menyebabkan wang simpanan lesap begitu sahaja.

Baru-baru ini, seorang individu yang merupakan rakyat Malaysia mendedahkan bagaimana dia diperangkap oleh satu sindiket scammer yang menawarkan kerja sebagai pembeli peribadi atau ‘personal shopper’ di luar negara.

Menurut laporan Kosmo!, individu tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Cik A mempunyai pengalaman selama tiga tahun sebagai ‘personal shopper’ dan membuatkan dia yakin tiada masalah untuk dia bekerja di luar negara.

Menerusi pendedahannya dalam sidang media bersama ADUN Teruntum, Sim Chong Siang, individu berkenaan berkata dia ditawarkan bekerja di Thailand dengan sindiket tersebut menanggung tiket kapal terbang secara percuma.

Selain itu, untuk meyakinkan mangsa, sindiket itu turut memberikan penginapan dan pemandu peribadi secara percuma untuk lapan hari pertama di Bangkok, Thailand sebelum dibawa ke Kemboja.

“Sampai sahaja di Bangkok, kami dilayan dengan baik. Bagaimanapun selepas seminggu, kami dipaksa ikut mereka pergi ke satu tempat di Kemboja.

“Kami diberikan kerja di bahagian sumber manusia dan jika melawan akan dipukul. Kami dibawa naik sampan dan meredah sungai untuk sampai ke sebuah bangunan berwarna hijau.

“Di situ kami dipaksa menjadi ‘scammer’ dan perlu membayar pampasan jika mahu berhenti,” katanya dalam sidang media.

Menurutnya, pampasan yang perlu dibayar adalah sebanyak USD35,000 (RM157,640) dan mereka ketika itu dibayar gaji sebanyak USD1,000 (RM4,500).

Katanya lagi, setiap seorang rakyat Malaysia yang berjaya ditipu di bawah sindiket yang sama akan diberikan USD1,000 (RM4,500).

Baca juga: Tak ada sayur cuma letak sos je, rupa burger stadium jadi perbincangan warganet

Baca juga: Penjajah tetap penjajah, takziah saja dah cukup-Bekas penyampai berita TV3 dikritik peluk erat foto Ratu Elizabeth