Malaysia Dateline

Tak ada sayur cuma letak sos je, rupa burger stadium jadi perbincangan warganet

Baru-baru ini telah berlangsung perlawanan akhir Piala FA 2022 yang menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) diangkat sebagai juara selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 September lalu.

Apa yang menjadi perbincangan hangat selepas perlawanan itu bukan sahaja tentang permainan antara kedua-dua pasukan, bahkan makanan yang dijual di stadium juga menjadi bualan pengguna media sosial.

Mana tidaknya, sejak semalam tular gambar sebiji burger yang dipercayai dijual di stadium ketika perlawanan bola sepak sedang berlangsung. Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Sukri Sulaiman Production, dia berkongsikan rupa ‘burger stadium’ yang membuatkan ramai terhibur.

Burger dengan bungkusan jenama tempatan terkenal itu dilihat cuma terisi daging ayam, roti dan sedikit sos tanpa ada inti seperti sayur-sayuran.

Daging yang sepatutnya dihiasi dengan bermacam jenis sos juga terlihat seperti kekurangan banyak bahan asas kerana cuma diletakkan sedikit sos cili di atasnya.

“Burger Stadium. Jom kita bincangkan harga yang sesuai untuk burger ini,” tulis Sukri Sulaiman.

Menerusi komentar warganet yang lain, mereka memaklumkan burger tersebut dijual dengan harga RM4 sebiji.

Selain itu, warganet turut berkongsikan gambar burger yang dibeli mereka yang terlihat amat kosong cuma ada daging ayam diapit dua roti.

Rata-rata warganet walaupun terhibur dengan keadaan burger yang dijual, namun tetap memberi nasihat kepada para peniaga supaya beramanah apabila berniaga dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata.

“Lagu ni burger stadium rupanya…Kepada peniaga..kalau menjual dengan niat nak untung lebih (cekik darah) dosanya dia manusia dan tanggunglah dengan Allah nanti..tapi kalau jual dengan harga memadai apa yang sepatutnya Alhamdulillah…,” tulis salah seorang pengguna Facebook.

Gambar pengguna media sosial

Pada masa sama, di TikTok pula, seorang individu berkongsi pengalaman membeli burger di stadium yang nyata membuatnya terkejut kerana burger yang dibelinya disertakan sos berbentuk paket yang diletakkan berasingan.

Difahamkan hal itu dilakukan agar burger tidak basi. Harga yang dikenakan untuk burger itu juga sekitar RM4.

“Burger stadium dah upgrade. Sos asing supaya lambat basi ya gais. RM4 murahlah juga ingat RM5” tulisnya dalam kapsyen video yang dimuatnaik di TikTok afiq.zainall.

Baca juga: Juruterbang helikopter hilang semalam ditemui maut di Hutan Simpan Chikus

Baca juga: Tahu tak kenapa Najib pilih penjara Kajang, bukan Sungai Buloh?