Malaysia Dateline

Infrastruktur awam, tebatan banjir, perumahan mampu milik dan pemulihan Felda agenda Faiz majukan Tampin

Hari penentuan pada 19 November ini amat penting bagi pengundi Parlimen Tampin untuk memilih calon Pakatan Harapan (PH) Faiz Fadzil yang menyediakan tawaran lebih baik buat pengundi di Parlimen berkenaan.

Selain akan menambah baik keperluan rakyat termasuklah infrastruktur awam, Faiz juga berikrar akan memfokuskan kepada agenda projek tebatan banjir, perumahan mampu milik dan pemulihan Felda sebagai prioriti dalam pembangunan kawasan Parlimen tersebut. 

Menurut Faiz yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Permatang Pasir, pembangunan tidak seimbang antara bandar dan luar bandar selama ini telah menjadikan Tampin ketinggalan dari sudut pembangunan terutamanya infrastruktur awam. 

Malah katanya, sebagai contoh, jalan raya utama dari Gemas ke Tampin masih lagi satu jalan (lane) walaupun ia dilalui oleh banyak kenderaan termasuk kenderaan berat yang menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk Tampin.

Calon Ahli Parlimen AMANAH itu juga meyakini risiko kemalangan tinggi di daerah ini. Di samping itu, jalan-jalan di kawasan kampung yang sempit dan kekurangan lampu jalan juga perlu diatasi. 

Faiz ketika penamaan calon

Insuran banjir akan dicadangkan di kawasan cenderung banjir

Manakala banjir pula, saban tahun Parlimen Tampin terkesan khususnya di kawasan Gemas.

Sehubungan itu Tampin memerlukan usaha yang berterusan termasuk sistem amaran awal, pencegahan banjir dan paling penting ialah projek tebatan banjir harus dilaksanakan segera supaya perubahan iklim yang sedang melanda dunia kini tidak menyebabkan banjir teruk kepada penduduk Tampin. 

“Kerajaan sepatutnya mengenal pasti zon-zon merah yang lebih berisiko banjir dan seterusnya memberi tumpuan terhadap kawasan terbabit dari aspek peruntukan dana dan persiapan awal. Insuran banjir juga akan dicadangkan di Parlimen bagi rumah-rumah di zon cenderung banjir dalam kawasan Tampin. 

Sementara itu bagi mengatasi masalah kekurangan peluang memiliki rumah sendiri, Faiz menganggap GLC dan pemaju swasta harus memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik.

Pemilikan rumah sendiri dengan harga yang lebih murah akan membantu penduduk Tampin untuk meningkatkan sosio-ekonomi dengan pemilikan rumah sendiri oleh setiap penduduk serta agenda rumah mampu milik diperluaskan. 

“Parlimen Tampin turut mempunyai penempatan Felda terbanyak di Malaysia seperti Felda Jelai, Pasir Besar, Sg. Kelamah, Bukit Rokan dan Felda Bukit Jalor.

“Sejajar dengan itu sepanjang menjadi kerajaan Persekutuan selama 22 bulan, kerajaan PH telah banyak memainkan peranan mengukuhkan Felda daripada kesan penyelewengan dan pengurusan lemah kerajaan BN, ” tegas beliau. 

Pada masa sama Faiz memaklumkan, kerajaan PH telah pun membentangkan kertas putih di Parlimen, menyuntik RM6 bilion ke dalam Felda dan juga melancarkan Program Pembangunan Peneroka bagi mengukuhkan sosio-ekonomi peneroka Bumiputera. 

Faiz berkata, para peneroka kini terjejas akibat isu pengurusan ladang, ketidakcukupan bekalan baja, soal hutang, harga getah dan sawit serta isu harga barang yang mahal. 

Justeru, projek perumahan generasi kedua yang telah lama terbengkalai akan terus diperjuangkan supaya disiapkan bagi memberi keselesaan kepada anak-anak Felda.

Sungguh pun begitu, syabas juga kepada kerajaan PH Negeri Sembilan kerana telah memulakan inisiatif pemberian tanah rumah seluas 4000 kaki satu lot kepada generasi kedua Felda. 

Ujar beliau, bagi memastikan kelestarian pembangunan dalam negara, kawasan luar bandar perlu diberi perhatian khusus untuk dibangunkan terutamanya dari sudut kemudahan infrastruktur awam. 

Bagi tahun 2020 dan 2021 sahaja, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.3 bilion dan RM6.7 bilion.

Peruntukan ini sebenarnya tidak cukup dan kerajaan sepatutnya berbelanja lebih dan dicadangkan sejumlah RM8 bilion dapat diperuntukkan bagi memastikan luar bandar dibangunkan secara adil. 

Baca juga: Penunggang basikal di Tokyo berdepan saman trafik

Baca juga: Buat pengundi B40 dan miskin bandar – 9 tawaran PH ini lebih baik dari PN, BN