Malaysia Dateline

Ini kerajaan Perpaduan bukan kerajaan PH, banyak perkara kena kompromi

Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan semua pihak bahawa kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini adalah Kerajaan Perpaduan, bukan Kerajaan Pakatan Harapan.

Timbalan Ketuanya, Razak Ridzuan berkata, Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri menuntut proses dan pertimbangan yang berbeza, justeru untuk mencapai maksud itu, kompromi terpaksa dibuat dan pengorbanan perlu dilakukan.

Beliau melihat representasi setiap segmen masyarakat dalam Kabinet adalah penting, baik representasi kaum, agama, gender, umur atau wilayah.

Bagaimanapun, pada akhirnya yang paling utama adalah komitmen untuk menegakkan keadilan kepada semua, dan memenuhi hak serta kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata demikian menjawab pertikaian dibangkitkan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy yang mendakwa masyarakat India kecewa dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar apabila hanya memberi satu kerusi Menteri kepada ahli Parlimen kaum tersebut.

“P. Ramasamy harus menekuni dan meneladani sifat jiwa besar dan pengorbanan pimpinan utama parti beliau DAP yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa syarat, demi kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kemakmuran negara.

“P. Ramasamy juga harus belajar dari pengalaman 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan, yang pimpinannya kerap kali dilihat berbeza pandangan di ruang terbuka, hingga diambil kesempatan oleh musuh politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramasamy dalam satu hantaran di Facebook berkata, jika Ahli Parlimen yang kalah boleh diberikan kedudukan dalam Kabinet sepatutnya Anwar boleh memberi pengiktirafan yang sama kepada pemimpin India yang lain.

Beliau mendakwa tidak ada usaha serius untuk melantik calon India daripada PKR iaitu sebuah parti yang mempunyai penumpuan terbesar kaum India ke jawatan tersebut.

Masyarakat India sememangnya kecewa apabila mereka tidak diiktiraf untuk jawatan Kabinet, kata Ramasamy.

Sementara itu Razak menegaskan, setiap pakatan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu meletakkan kepentingan negara di hadapan, dan lebih matang serta berhati-hati dalam setiap bicara dan pandangan.

Keutamaan sekarang adalah bekerja dan melaksanakan amanah, untuk rakyat dan negara, katanya lagi.

Baca juga: Kenali ratu kegelapan yang diiktiraf dunia peragaan, berjaya pikat hati masyarakat dunia

Baca juga: Video budak berpaut belakang lori kini tular di Indonesia