Malaysia Dateline

Ini masanya kerajaan tebus kecuaian, bantu pasukan karate langsaikan hutang

Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan digesa untuk mengiktiraf secara rasmi kejayaan pasukan karate persendirian negara yang telah memenangi banyak pingat termasuk pingat emas dalam kejohanan di Perancis baru-baru ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata, kerajaan juga sepatutnya perlu menjelaskan hutang yang ditanggung pasukan berkenaan kerana menyertai pertandingan secara kredit dan tiada penaja menanggung kos perjalanan mereka.

Dilaporkan, Persatuan Okinawan Shorin-Ryu Sei-bu-kan Karate Do Antarabangsa Malaysia (IOSSKAM) memerlukan sekitar RM23,000 untuk menjelaskan baki hutang yang ditanggung bagi perjalanan dan penyertaan dalam Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa, di Lyon, Perancis, awal bulan ini.

Menurut Kulasegaran, kejayaan pasukan persendirian ini mesti dilihat sebagai pembuka mata, kerana mereka berjaya mengharumkan nama negara tanpa sebarang tajaan daripada Kementerian Sukan, agensi kerajaan mahupun organisasi swasta.

“Ironinya sebuah syarikat penerbangan Turki telah datang menyelamatkan mereka dengan memberi peluang kepada pasukan itu untuk terbang ke Perancis dengan membenarkan mereka terbang secara kredit (terbang dahulu bayar kemudian).

“Disebabkan kecuaian ini, adalah wajar kerajaan memberi penghormatan kepada atlet ini atas kemenangan, keazaman dan kecemerlangan mereka.

“Malah, kerajaan perlu menjelaskan baki perbelanjaan mereka dalam kejohanan di Perancis selepas kejayaan mereka yang menakjubkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, IOSSKAM berjaya memperoleh 6 pingat dalam kejohanan di Perancis mewakili pingat emas, perak dan gangsa buat Malaysia.

Sementara itu Kulasegaran menambah, kerajaan juga perlu membantu pasukan karate persendirian negara itu untuk menyertai pertandingan di AS dan Itali kerana mereka masih berusaha untuk mengumpul dana untuk kejohanan tersebut.

Katanya lagi, bagi memastikan tiada atlet yang terlepas peluang pada masa hadapan, kementerian belia dan sukan perlu lebih proaktif mengenal pasti bakat dalam pelbagai bidang sukan dan bukan hanya pada sukan yang popular.

Baca juga: Wanita perjelas kenapa sekatan eksport gandum beri kesan walaupun Malaysia tak import dari India

Baca juga: 5 sebab kenapa anda memilih untuk hidup bujang dan tidak berkahwin