Malaysia Dateline

Wanita perjelas kenapa sekatan eksport gandum beri kesan walaupun Malaysia tak import dari India

Seorang pengguna Facebook, Syu Azis berkongsikan kepada orang ramai mengapa sekatan eksport gandum memberi kesan kepada dunia walaupun Malaysia tidak mengimport sumber gandum dari India.

Beberapa hari ini timbul desas-desus mengatakan stok tepung gandum hanya akan bertahan sehingga Julai ini.

India juga dilaporkan telah menyekat eksport gandum mereka berkuatkuasa serta merta susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik.

Situasi itu menyebabkan berlakunya kenaikan harga apabila sepeket tepung gandum satu kilogram (kg) kini dijual sehingga RM3.50 berban­ding RM2.80.

Susulan itu, wanita dikenali sebagai Syu Azis menerangkan kepada orang ramai tentang keadaan yang berlaku di India sehingga memaksa negara itu menyekat eksport gandum mereka.

Berikut merupakan perkongsian wanita tersebut:

‘Heat wave’ terburuk landa India sejak 1901! Bagi kawasan north India, gelombang haba tu perkara biasa. Yang luar biasanya apa?

Apabila suhu ‘average’ kepanasan melebihi paras maksimum, itulah indeks yang dipanggil “horror heatwave”.

Suhu setinggi 40-45 darjah celcius adalah biasa di India. Luar biasa lagi bila gelombang haba pertama menyerang semasa bulan March. March kebiasaannya baharu permulaan suhu panas pada skala minimum.

Panasnya suhu 45 ni sehinggakan angin yang dibawa turut terasa panas. Panas menggigit sehingga angin bertiup pun hanya tambahkan bahang panas. Macam ni lah, macam kita duduk tepi api yang dibakar di tempat tertutup. Bayangkan.

Saya pernah rasa suhu 43-45 darjah celcius semasa berada di Delhi. Panas ya ampun! Jenis saya, hari pertama saya akan rasa rimas tapi masuk hari kedua, saya akan biasa dengan suhu bagaimana pun, tak kiralah panas mahu pun sejuk.

Panas ekstrem, dah. Sejuk ekstrem, pun sudah (-20). Mana pilihan hati? Yang sedang-sedang saja

Jiran India, Pakistan juga sedang hadapi heat wave mencecah suhu 50 darjah celcius! Allahuakbar, severely hot! Doa saya semoga segalanya dipermudahkan. Tak itu saja.

Cuaca panas menggila pekerja pun tak sanggup datang kerja

Panas ni la sebabkan stok gandum disekat serta merta. Antara sebab utamanya, bila cuaca terlalu panas di mana kebanyakkan gandum di India ditanam di kawasan north India di kawasan bersuhu panas.

Cuaca tengah panas menggila, macam manalah pekerja nak kerja dengan tahap optimum?

Mustahil pekerja nak bekerja selepas jam 10.00 pagi. Silap silap, boleh mati mengejut kena strok haba. Belum lagi yang tak sanggup datang kerja sebab tak tahan suhu panas, sakit! Bila kerja kurang produktif, dah tu kerja akan jadi lambat. Pengeluaran pun terhad.

India juga takut gelombang haba menyebabkan banyak ladang gandum akan terbakar

Dah terbakar, pengeluaran juga mestilah bertambah terhad. Pakar kaji dan kaji, ban eksport gandum perlu dilaksanakan serta merta.

Di peringkat global, India bukanlah major dalam eksport hasil gandum walaupun India pengeluar nombor 2 hasil gandum dalam dunia.

Kebanyakkan gandum India khas untuk menampung kegunaan domestik 1.4 billion rakyatnya dan almost 50 peratus eksport India hanyalah ke Bangladesh.

Kemudiannya kenapa kesan sekatan eksport dari India begitu besar pada dunia?

Konflik Russia-Ukraine meningkatkan harga komoditi di peringkat global dan India ini mempunyai stok buffer (stok gantian) yang besar yang mampu berikan sokongan kepada harga global dan redakan perasaan bimbang kurangnya bekalan gandum. Itu saja.

Bab perubahan cuaca sememangnya beri impak dahsyat pada bekalan makanan dan komoditi utama. Ingat hal bawang naik harga tak?

Banjir buruk dan hujan berterusan landa India pada September 2020, terus India sekat eksport semua jenis bawang. Untuk info tepat, India ialah pengeksport bawang terbesar di dunia. Negara seperti Bangladesh, Nepal, Malaysia dan Sri Lanka bergantung kepada India bagi stok bawang.

Hinggakan bawang jadi mahal masa tu walapun saya di India, suami minta jimat guna bawang dalam masakan dan kerajaan India terpaksa import bawang Holland dari Afghanistan waktu tersebut. Harga masa tu jauh lebih mahal di Malaysia sehingga memaksa ramai pengusaha restoran untuk naikkan harga makanan.

Inilah rantaian kuasa besar ekonomi yang apabila negara mereka banned akan sesuatu komoditi dan eksport hasil utama keperluan dunia, maka inflasi akan berlaku.

Negara lain terutama negara kecil dan miskin akan berada di dalam kesusahan kerana maksud inflasi itu sendiri adalah kenaikan harga umum. Tak mampu dikawal dah. Nak tak nak, kena hadap jua. Ini adalah macroeconomics yang perinciannya saya dah kupas tapi masuk folder KIV.

Mentua saya simpan stok gandum bagi tempoh 6 bulan hingga setahun. Simpan dalam tong drum khas berstruktur besi yang tahan akan segala rentan cuaca. Ketahanan simpanan bahan makanan boleh bertahan sehingga 2 tahun! Kita tak sesuai sangat nak simpan atas faktor cuaca panas lembap.

Cepat berkutu. Cuma cara mereka baguslah. Bersedia dalam apa jua masalah di depan. Kebiasaannya simpanan ini disebabkan cuaca sejuk ekstrem (sehingga -20) ketika musim sejuk. Bekalan sentiasa ada, tak putus.

Gandum sangat penting. Krisis makanan bukan hal sekecilnya. Dan sektor agrikultur itu tersangat penting walaupun kerjanya nampak comot, tak glamor tapi beri impak yang sangat dahsyat jika kurangnya bekalan.

Semoga hantaran ini bermanfaat buat kalian.

Baca juga: Politik untuk beri rakyat makan, bukan untuk orang politik cari makan

Baca juga: Ini sebab anda kena restart phone seminggu sekali