‘Ini tugas kami sebagai orang dewasa’, PU Rahmat tawar peguam pro bono untuk si kakak tertikam adik

Oleh KIM SYAZIE

Pendakwah bebas yang juga pencetus ummah, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat bersedia menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada remaja perempuan yang tertikam adiknya sendiri sehingga maut.

PU Rahmat dalam hantaran di Facebook berkata, si kakak hanya terkhilaf dan ini sebenarnya tugas sebagai orang dewasa untuk membantu remaja berusia 18 tahun itu untuk mendapatkan masa depan yang lebih baik.

Katanya, tragedi dua beradik ini sangat menyedihkan dan sememangnya Islam melarang kita untuk bergurau menggunakan pisau dan pedang.

Bagaimanapun katanya, ini semua perlu dididik oleh ibu bapa terhadap anak-anak sejak kecil lagi.

“Kita tahu sememangnya ada larangan Nabi Muhammad melarang bergurau menggunakan pisau atau pedang. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dari usia kecil.

“Kami mendapat khabar adik beradik ini sebenarnya berasal daripada keluarga susah dan mempunyai akhlak yang baik.

“Hanya mereka terkhilaf dan tugas kami sebagai orang dewasa dan berkemampuan membantu adik ini agar dapat mempunyai masa depan yang lebih baik.

“Seorang peguam dan rakan saya bernama Firdaus sedia membantu keluarga ini secara percuma (pro bono). Jika ada ahli keluarga atau kenalan mangsa berdekatan. Boleh beritahu mereka untuk PM FB Mesenger saya supaya dapat kami hubungi,” katanya sambil meminta khidmat baik pengguna media sosial untuk berkongsikan nombor telefon keluarga mangsa.

Terbaru dalam kemaskini di Facebook, PU Rahmat memberitahu bahawa dia sudah pun mendapat nombor telefon keluarga mangsa dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menularkan statusnya itu.

Terdahulu, punca kematian remaja lelaki berusia 16 tahun selepas terkena pisau yang dibaling kakaknya disahkan akibat pendarahan yang banyak pada saluran darah utama.

Pendarahan berlaku akibat hujung pisau pemotong sayur dibaling kakak mangsa terkena pada arteri di bahagian kanan leher mangsa.

Kejadian dikatakan berpunca daripada kedua beradik itu berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Suspek kemudian ditahan reman enam hari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atasnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Direman dan sesal hilang adik pasti si kakak derita dengan air mata-Tregedi dua beradik terus buat netizen berasa sebak

Baca juga: Jiran puaka, siang malam pegang parang depan rumah sampai takut orang nak keluar