Malaysia Dateline

Inisiatif Selangor tubuh Kelab Ibu Tunggal harap dapat dilaksanakan di Kelantan

Angkatan Wanita Amanah Negeri Kelantan (AWAN) Negeri Kelantan berharap kerajaan Pas Kelantan turut melaksanakan inisiatif Kelab Ibu Tunggal di negeri itu.

Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, inisiatif seperti ini dapat dijalankan di negeri Kelantan yang juga mempunyai bilangan ibu tunggal atau armalah yang tinggi.

Katanya, tumpuan perlu diberikan bagi mengenalpasti ibu tunggal yang memerlukan bantuan ini dan memastikan mereka dapat keluar daripada permasalahan yang dihadapi.

“Ini memerlukan pengkalan data yang tepat dan program pemberdayaan yang holistik dan berkesan.

“Ibu Tunggal amat memerlukan sistem sokongan termasuk penjagaan anak-anak bagi membolehkan mereka bekerja meningkatkan ekonomi keluarga dan menyumbang kepada produktiviti negara,” katanya.

Terdahulu, pertubuhan Kelab Ibu Tunggal yang diumumkan EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan serta Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud baru-baru ini bagi mendengar dan menangani permasalahan yang dihadapi ibu tunggal.

AWAN Kelantan juga percaya bahawa Kelab Ibu Tunggal ini akan memberi manfaat kepada 44680 orang ibu tunggal dan anak-anak mereka yang terkesan dengan Pandemik Covid-19 dan krisis kewangan serta sosial yang menyusul bersamanya.

Inisiatif Selangor tubuh Kelab Ibu Tunggal harap dapat dilaksanakan di Kelantan
Dr Hafidzah Mustakim

Laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci Malaysia 2020) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan jumlah ibu tunggal di negara ini hampir mencecah 1 juta orang.

Lebih tepatnya seramai 910,091 orang ibu tunggal di rekodkan di negara ini pada tahun 2020 bersamaan dengan 8.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini.

Dr Siti Mariah mencadangkan setiap wakil rakyat menubuhkan kelab ibu tunggal di kawasan masing-masing untuk mendengar masalah golongan ini dan membantu mencari penyelesaian.

Penubuhan kelab itu diharap mampu membantu mengelakkan golongan itu daripada berasa tersisih dan cadangan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan jumlah ibu tunggal di negeri ini, iaitu membabitkan 44,680 wanita ketika pasca pandemik melanda negara.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/ayuh-malaysia-wajar-disertai-seluruh-rakyat-yang-patriotik-cintakan-negara/