Malaysia Dateline

Isu agihan beras: Ketua Pembangkang Johor jawab dakwaan Onn Hafiz

Susulan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mendakwa ADUN pembangkang menangguk di air yang keroh apabila mempersoalkan di mana bantuan 10 kg beras kepada 903,000 ketua isi rumah di Johor, Ketua Pembangkang Liew Chin Tong membalas balik dakwaan Menteri Besar Johor itu.

Menurut Chin Tong masalah yang timbul sekarang ialah rakyat di semua kawasan pembangkang bertanya tentang butiran edaran beras tetapi mereka tidak dapat menjelaskan kepada rakyat kerana tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak kerajaan.

“Demi kebaikan Bangsa Johor, lebih baik maklumat dikongsi secara terbuka dan telus.

“Apabila tiada maklumat yang tepat, rakyat terpaksa bertanya kepada pelbagai pihak tanpa dapat maklumat tepat. Lebih mudah jika maklumat yang lengkap dikongsikan dengan semua termasuk ADUN-ADUN Pembangkang,” kata beliau.

Beliau menggesa agar ADUN-ADUN Pembangkang dilibatkan secara langsung dalam proses ini kerana mereka lebih arif tentang keperluan isi rumah di kawasan mereka.

Isu agihan beras: Ketua Pembangkang Johor jawab  dakwaan Onn Hafiz
Liew Chin Tong

“Jika kami dibiarkan duduk dalam gelap tanpa maklumat, rakyat juga yang menanggung beban.

“Sekiranya ADUN-ADUN Pembangkang dilibaturuskan, kami juga mampu memberi cadangan alternatif seperti pemberian baucar tunai atau e-baucar yang lebih mudah edarannya dan lebih tepat sasarannya.

“Penjawat awam, ketua kampung dan sukarelawan juga akan lebih selesa mengendalikan baucar daripada mengendalikan beras. Ini buktinya cadangan kami bersifat membina, dan bukan semata-mata membangkang,” ujarnya lagi.

Tambahnya, bagi membolehkan mereka menjadi pembangkang yang konstruktif, kerajaan perlu bersedia menerima cadangan dan melibaturuskan pihaknya.

“Kami harus bersama-sama memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Yang untung bukan pembangkang tetapi semua Bangsa Johor.

“Seruan saya cuma mahukan kerajaan negeri lebih telus atau ‘transparent’ dalam proses ini. Utamakan Bangsa Johor, bukan mana-mana parti atau gabungan politik,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Chin Tong dalam kenyataan pada 15 Mei, berkata, pada 27 April Onn Hafiz Ghazi Johor menyatakan bahawa semua 3.67 juta penduduk di negeri Johor akan menerima bantuan beras 10 kg sebelum 31 Mei ini.

Namun, katanya tiada sebarang butir mengenai bagaimana agihan bantuan tersebut akan dibuat, sama ada untuk setiap penduduk atau isi rumah.

“Ini menyebabkan jutaan rakyat Johor tertanya-tanya tentang bantuan ini.

“Kerajaan Negeri Johor sepatutnya melaksanakan Program Bantuan Beras Bangsa Johor di mana setiap ketua isi rumah akan menerima sekampit beras 10 kg, secara telus dan berkesan.

“Namun, kerajaan negeri menimbulkan masalah sendiri apabila mengecualikan ADUN pembangkang dalam pelaksanaan program ini. Sebaliknya ia melantik penyelaras Barisan Nasional bagi 16 kerusi DUN pembangkang ini untuk menjalankan tugas pengagihan beras. Ini menimbulkan kesulitan dalam agihan,” jelas Chin Tong.

Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu Bangsa Johor termasuklah bantuan 10 kg beras ketua isi rumah di Johor. Objektif mengagihkan beras ini adalah sebagai tanda kasih kerajaan untuk membantu Bangsa Johor berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup. Ia merupakan sumbangan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Namun, Sehingga 15 Mei 2022, 10kg beras telah diagihkan kepada 344,197 penerima.

Baca juga: PH Johor tuntut ADUN pembangkang sertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, majlis rasmi negeri