Malaysia Dateline

PH Johor tuntut ADUN pembangkang sertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, majlis rasmi negeri

Susulan Menteri Besar Johor melantik ahli politik BN sebagai penyelaras DUN, Pakatan Harapan Johor bersama MUDA pula tuntut ADUN Pembangkang sertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan majlis rasmi kerajaan negeri.

Melalui sepucuk surat yang diviralkan memberitahu Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah melantik 16 Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Khas Dewan Undangan Negeri (JKPD) yang terdiri daripada ahli politik Barisan Nasional (BN) untuk menjalankan tugas di semua kawasan ADUN pembangkang berkuatkuasa pada 26 April 2022.

Dalam pada itu, Menteri Besar menjelaskan lantikan yang dibuat buat sementara waktu ini adalah untuk memudahkan urusan di kawasan pembangkang terutama dalam aspek pengagihan bantuan.

Bagaimanapun Ketua Pembangkang Johor Liew Chin Tong berkata, urusan pengagihan bantuan patut dijalankan oleh ADUN pembangkang yang dipilih oleh rakyat di setiap kawasan dan tidak perlu melalui Penyelaras Barisan Nasional.

“Kami yakin semua wakil rakyat mampu mengendalikan pengagihan bantuan.

“Penyelaras Barisan Nasional mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk bekerjasama dengan ADUN pembangkang, bukannya melangkaui peranan ADUN pilihan rakyat,” kata beliau.

Atas prinsip dan semangat dwipartisan, ADUN Perling itu juga berkata semua kemudahan dan jemputan ke majlis-majlis serta mesyuarat rasmi kerajaan untuk Penyelaras Barisan Nasional harus diperuntukkan dan dipanjangkan kepada semua ADUN Pembangkang.

PH Johor tuntut ADUN pembangkang sertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, majis rasmi negeri
Ketua Pembangkang DUN Johor Liew Chin Tong

Sehubungan itu, Pakatan Harapan dan MUDA Negeri Johor mencadangkan dua langkah yang boleh diambil oleh Menteri Besar Johor bersama Penyelaras Barisan Nasional untuk kebaikan rakyat Johor iaitu membolehkan semua ADUN pembangkang menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan majis rasmi negeri.

“ADUN Pembangkang yang dipilih oleh rakyat Johor bertanggungjawab untuk memastikan setiap maklumat, kerja lapangan, dan masalah rakyat disampaikan secara terus dan rasmi kepada JTPD.

“Penyertaan ADUN pembangkang dalam JTPD, termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Jawatankuasa Keselamatan Daerah, dan mesyuarat rasmi yang lain, akan memudahkan usaha membantu rakyat dan membangunkan Negeri Johor,” katanya.

Chin Tong juga meminta satu pembentangan rancangan penyelaras BN bagi setiap suku tahun bagi tujuan penyelarasan bersama ADUN pembangkang.

Katanya, penyelaras Barisan Nasional perlu bertanggungjawab untuk membentangkan rancangan suku tahun bagi setiap kawasan yang telah dilantik.

“Ini bagi memudahkan kerjasama antara Penyelaras Barisan Nasional bersama ADUN pembangkang dalam hal pembangunan dan kebajikan negeri.

“Ini juga selaras dengan hasrat ADUN Pakatan Harapan dan MUDA untuk mengetepikan perbezaan fahaman politik, dan memberikan khidmat terbaik kepada Bangsa Johor yang telah memilih semua ADUN pada Pilihan Raya Negeri Johor yang lalu.

“Semua ADUN pembangkang akan menyokong usaha yang baik daripada kerajaan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Johor,” katanya.

Baca juga: Malaysia hilang peluang pelancongan luar negara jika terus kenakan sekatan ketat

Baca juga: Restoran tutup seminggu sebab Chef putus cinta