Isu berlarutan air Kelantan: Menteri boleh buka semula laporan dibentang Husam

Oleh ARIF ATAN

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, kini Menteri Air dan Alam Sekitar yang dilantik menerusi kerajaan tebuk atap. Menteri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan juga air.

Masalah air di Kelantan adalah tanggungjawab beliau. Bukan sahaja sebagai menteri Kasa tetapi sebagai wakil rakyat ahli parlimen Kubang Kerian, Tuituman patut lebih rasa bertanggungjawab berbanding wakil rakyat dan menteri lain. Kubang Kerian terletak dalam negeri Kelantan, bukan Pahang.

Isu air Kelantan sudah tular waktu ini. Semua orang sudah bercakap tentangnya. Pihak AKSB sendiri juga telah memberi jawaban dan penjelasan bersimpul-simpul.

Pengurus Besar AKSB sendiri telah turun padang untuk melihat apa yang berlaku. Satu kajian telah dibuat untuk mengenali pasti segala masalah menyebabkan berlaku masalah air itu yang tidak ada penghujung.

Saya ingin menarik kepada apa yang berlaku tujuh tahun lepas, di mana kalau Tuituman peka dan mengambil perhatian kepada apa yang berlaku waktu itu mungkin masalah air di Kelantan tidak berlarutan sampai kini.

Tujuh tahun lepas, waktu Tuituman belum jadi menteri Kasa, ketika masih duduk atas belakang unta bukan di kerusi Velfire lagi, masalah air Kelantan ini sudah timbul. Adun Salor ketika itu Husam Musa telah membangkitkan masalah air ini secara terperinci apa disiasatnya.

Husam Musa

Bahanan daripada itu Husam dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin atau jawatankuasa pimpinan tertinggi Pas atas alasan mengkritik kerajaan Kelantan.

Salah seorang bertanggungjawab untuk mendengar penjelasan Husam ialah Tuituman. Adapun Tok Dor tidak hadir mungkin kerana demam selesema.

Semasa Husam menghadap jawatankuasa berkenaan, Husam telah membentangkan laporan berhubung isu air yang dijadikan asasnya mengkritik kerajaan Pas itu.

Laporan atau fakta disebut Husam itu berdasarkan laporan audit berhubung kedudukan AKSB syarikat mengendalikan air Kelantan.

Ia bukan fakta atau bukti setakat kutip di tepi longkang. Semua sudah dibentang dan dijelaskan Husam.

Kalau Tuituman bersedia menerima laporan dan penjelasan Husam itu, dengan meminta kerajaan negeri memperbetulkan kepincangan dan kecacatan dalam AKSB seperti mana didedahkan Husam, sudah pasti isu air itu sudah selesai.

Namun, sayang Tuituman, hanya dengar tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan. Tanggungjawab Tuituman sebagai pemimpin yang harus berkata benar tidak berlaku di sini.

Pendengaran penjelasan dan pembentangan laporan oleh Adun Salor itu hanya formaliti sahaja, di mana niat busuk untuk memecat Husam sudah pun ada.

Kini, atas kedegilan dan ketidak cakduhan Tuan Ibrahim terhadap laporan didedahkan Husam itu menyebabkan beliau berhadapan dengan isu air di Kelantan, ketika beliau adalah seorang menteri bertanggungjawab mengenai air.

Begitulah Tuhan hendak mengajar dan mendidik dengan penuh hikmah. Sesekali para pemimpin Pas perlu juga menerima dan tahu apa itu konsep istidraj.

Sekiranya Tuituman ikhlas, jujur dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu air di Kelantan, beliau boleh buka balik laporan dibentangkan Husam ketika dia dipanggil “membela” diri itu untuk mengatasi masalah isu air.

Mungkin dokumen itu masih disimpan dalam rak buruk di pejabat agung Pas, atau pun telah dibakar.

Selalunya perangai orang Pas, apabila mereka tidak setuju dengan seseorang, seribu kebaikan dan jasa orang itu akan diabai begitu sahaja.

Baca Tuan Ibrahim pilih Khairuddin, isyarat sedia pecah tradisi ambil alih tempat Presiden

Baca Pelajar 16 tahun langgar pemotong rumput sehingga maut, ibu bapa dipanggil polis