Malaysia Dateline

Isu pelantikan TPM: PN patut fikir isi perut rakyat bukan hanya tembolok ahli politik

Perikatan Nasional (PN) ibarat sudah memperlihatkan kegagalan mereka untuk berjuang membela nasib rakyat apabila mesyuarat parti tersebut baru-baru ini lebih memberi keutamaan pada kerusi Timbalan Perdana Menteri yang belum diisi dan menuntut supaya ianya segera ditunaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, kekecewaan yang dizahirkan terhadap PM setelah gagal menunaikan janji seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, begitu ketara bahawa jawatan TPM menjadi tuntutan yang sedang mereka perjuangkan. 

“Dalam usaha kita mahu memastikan tiada lagi ‘lompat katak’ antara Ahli Parlimen tiba-tiba muncul pula usaha memenuhi temolok pemimpin PN dengan menagih kerusi TPM supaya segera direalisasikan oleh Perdana Menteri.

“Rakyat yang sedang berhempas pulas cuba memenuhi temolok keluarga dengan pelbagai kepayahan hidup pula dibiarkan berjuang dengan pelbagai kesulitan.

“Ini termasuklah keperitan kenaikan harga barangan serta gaji dan pendapatan yang kecil khususnya golongan petani, nelayan, pekebun dan penoreh getah serta golongan bawahan,” katanya sewaktu dihubungi Malaysia Dateline.

Dalam pada itu Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menasihatkan agar pimpinan tertinggi PN seperti Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya tidak mengkhianati rakyat dengan keasyikan memenuhi temolok pimpinan PN melalui usaha mengisi kedudukan jawatan TPM semata-mata.

Sebaliknya kedua-dua pemimpin tersebut perlu berusaha membantu mengisi temolok rakyat yang hampir lemas ekoran kegagalan kerajaan PN menunjangi kerajaan sedia ada, katanya lagi.

28 Julai lalu, PN menyatakan rasa kecewa dengan Ismail Sabri Yaakob kerana dilihat tidak bersungguh memenuhi terma-terma penting perjanjiannya dengan gabungan itu, yang menyokong beliau menjadi perdana menteri.

Hamzah bagaimanapun tidak menyatakan terma-terma yang dikatakan itu dalam kenyataannya.

Difahamkan, pelantikan timbalan perdana menteri adalah antara syarat perjanjian antara PN dan Ismail.

Muhiaddin juga pada 2 Julai lalu telah bertemu dengan Ismail untuk membincangkan pelantikan politik, termasuk jawatan timbalan perdana menteri, seperti yang dipersetujui sebelum ini apabila gabungan itu memutuskan untuk menyokong kerajaan Ismail.

Baca juga: Projek perumahan mampu milik DUN Permatang Pasir, Faiz berjaya realisasikan impian rakyat

Baca juga: Khalid Ibrahim meninggal dunia, disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam

Baca juga: Lebih 100 jemaah haji fail saman RM3 juta, rupanya sampai hari ini seorang pun belum terima ganti rugi. Ini yang anda perlu tahu