Isu pengambilan tanah Kg Sungai Baru secara paksa: BN-PN perlu tanggungjawab

Oleh KIM SYAZIE

Pada Jumaat 26 Ogos 2022 lalu, 37 pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru yang sebelum ini cuba mempertahankan tanah mereka daripada diambil pemaju bagi projek pembangunan semula kawasan itu dengan harga pampasan yang tidak wajar, ingin dipaksa akur dengan penggunaan undang-undang di bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960.

Keadaan itu sudah tentunya mengecewakan para pemilik. Kadar pampasan yang diberikan hanya dinaikkan sekitar 15 peratus sahaja dari yang ditawarkan pada bulan Mei 2022, apabila kerajaan BN-PN telah mencadangkan pengambilan tanah tersebut dengan cara ‘paksa’ dengan kadar nilai tanah RM450 satu kaki persegi.

Keputusan terbaharu selepas selesainya sesi pendengaran kedua menetapkan kadar nilai keluasan satu kaki persegi tanah dikira RM500 sahaja berbanding RM1,800 harga pasaran. (https://www.sinarharian.com.my/article/218418/edisi/selangor-kl/pengambilan-tanah-kampung-sungai-baru-penduduk-terpaksa-akur).

Semasa kerajaan Pakatan Harapan memerintah, saya selaku Menteri Wilayah Persekutuan telah menawarkan RM1,000 per kaki persegi untuk pemilik tanah Kampung Baru, iaitu tanah MAS (Malay Agricultural Settlement) yang terletak di sebelah Kampung Sungai Baru.

Tawaran itu tidak termasuk tanah Kampung Sungai Bharu (yang tidak ada sekatan untuk Bumiputera sahaja sebagaimana tanah MAS) kerana sejak 2016 lagi pembelian tanah ini sedang dirunding antara pemaju dan pemilik.

Kerajaan PH tidak campur tangan dalam persoalan ini kerana ianya rundingan antara pemaju swasta dan pemilik atas dasar “willing buyer, willing seller”.

Ketika kami menawarkan RM1,000 sekaki persegi untuk pemilik tanah Kampung Bharu, Tan Sri Annuar Musa menegaskan yang tawaran itu tidak mencukupi, dan kerajaan sepatutnya perlu menetapkan harga mengikut “harga pasaran”.

Bukan itu sahaja, Datuk Seri Najib Razak ketika itu juga turut berkata dalam hantaran Facebook bertarikh 21 September 2019 bahawa harga tanah di KLCC yang terletak bersebelahan Kampung Bharu mencecah RM3,000 satu kaki persegi. (https://www.facebook.com/157851205951/posts/tanah-kampung-baru-adalah-dekat-dengan-klccharga-tanah-di-klcc-cecah-rm3000-satu/10156359463600952/).

Namun begitu, mengapa setelah Tan Sri Annuar Musa dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) – Barisan Nasional (BN) menetapkankan nilai pampasan yang begitu rendah bagi penduduk di kawasan yang terletak di sebelah tanah Kampung Bharu itu?

Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Kerajaan BN, Datuk Seri Shahidan Kassim pula seakan-akan meletakkan kesalahan kegagalan untuk mencapai kata sepakat di bahu para penduduk sedangkan para penduduk mengharapkan pembelaan dari menteri bagi mereka mendapat harga yang adil.

Kerajaan BN-PN perlu adil kepada penduduk dengan memberikan pampasan yang selayaknya kepada mereka dan menghormati mereka sebagai pemilik tanah di situ. Mereka bukan setinggan!

Pada masa sama, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk kepentingan pemaju swasta adalah precedent yang sangat berbahaya. Ianya bukan untuk kepentingan awam dan kerajaan PH tidak menggunakannya walaupun untuk inisiatif pembangunan yang diambil oleh kerajaan sekalipun.

Pihak Perbadanan Kg Bharu (PKB) pada masa PH berusaha mendapatkan persetujuan pemilik tanpa ada unsur paksaan atau rampasan. Pada ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri sendiri memberi teguran tidak boleh gunakan Akta Pengambilan Tanah selain untuk projek kepentingan awam seperti membina sekolah atau hospital.

Kami mendesak kerajaan berhenti menyalahgunakan kuasa Akta Pengambilan Tanah untuk merampas hak rakyat demi kepentingan pemaju swasta.

Sepatutnya akta ini digunakan untuk membina kemudahan awam, bukan untuk merampas tanah penduduk untuk diberikan kepada pihak pemaju swasta.

Pakatan Harapan juga mendesak agar sesi libat urus dan rundingan dua hala antara pemaju dan penduduk perlu dilaksanakan secara adil bagi memastikan keputusan yang “win-win” dapat dicapai.

Perjuangkan rakyat lebih bermakna dari perjuangkan perompak dan perasuah

Datuk Seri Rina Harun selaku Ahli Parlimen Titiwangsa, Tan Sri Annuar Musa selaku mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Menteri Wilayah Persekutuan sediada dan Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri sendiri perlu bertanggungjawab dalam kes ini bagi memperjuangkan hak penduduk Melayu yang marhein.

Ini lebih bermakna berbanding mengadakan perhimpunan memperjuangkan seorang Melayu perompak dan perasuah.

Saya akan mencadangkan agar pemilik mencabar penilaian ini di mahkamah dan AMANAH sebagai komponen parti dalam Harapan akan memperjuangkannya bersama pemilik.

Bagi kami, nilai pampasan serendah itu adalah satu kezaliman dan ia merupakan bukti bahawa kerajaan Melayu Islam yang diagungkan mereka tidak mementingkan rakyat Melayu Islam.

Pada masa yang sama, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 di Kampung Sungai Baru jelas merupakan satu penindasan terhadap masyarakat Melayu Islam oleh kerajaan yang kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu Islam.

Baca juga: Penangan caramel machiatto kegemaran Najib, Nam Ron teringin nak rasa sekali seumur hidup

Baca juga: Lagi kes duit hilang, RM12,000 wang simpanan dekat bank lesap pukul 4 pagi