Malaysia Dateline

Isu polis pengiring: Perlukah dihapuskan terus?

Sahabat baik saya, Ahli Parlimen Bukit Mertajam telah mencadangkan agar perkhidmatan outrider pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihapuskan. Pada hemat beliau, perkhidmatan itu dilihat hanya sebuah pembaziran terhadap tenaga PDRM.

Beliau juga dilaporkan berkata jika penggunaan polis pengiring itu didasari untuk mengejar masa, maka beliau menyarankan agar mereka yang menggunakan perkhidmatan tersebut perlu keluar lebih awal atau perlu selesaikan isu kesesakan lalu lintas.

Semua tahu bahawa reaksi YB tersebut timbul susulan tular klip video yang mendakwa adanya anak seorang Ahli Parlimen menggunakan khidmat polis pengiring dalam sebuah kejadian di Pulau Pinang.

Atas nama dan roh demokrasi, dengan penuh hormat saya mohon untuk berbeza pendapat dengan sahabat baik saya itu.

Ahli Parlimen mahupun anak MP tidak ada keistimewaan untuk guna polis pengiring

Bagi saya, cadangan beliau bagi menghapuskan khidmat polis pengiring itu meskipun baik, mungkin agak bersifat idealis dan juga boleh ditafsirkan agak bersifat populis. Jangan salah faham ya. Saya sesungguhnya amat tidak setuju jika benar dakwaan ada seorang anak MP menggunakan khidmat polis pengiring.

Hatta jika seorang MP menggunakan khidmat tersebut pun, saya juga tidak bersetuju.

Jujurnya, saya tidak pasti adakah seorang MP mempunyai hak dan keistimewaan (privilege) untuk mendapatkan khidmat polis pengiring. Setahu saya, tidak ada hak atau keistimewaan itu.

Yang jelas tiada perkhidmatan itu untuk anak MP, setakat yang saya tahu.

Hatta tidak semua menteri dan timbalan menteri secara automatik layak mendapatkan hak tersebut, setakat yang saya diberitahu semasa berkhidmat sebagai timbalan menteri di JPM dahulu.

Isu perkhidmatan polis pengiring bagi setengah anggota pentadbiran hatta kepada kakitangan kerajaan seperti Peguam Negara misalnya adalah lebih kepada isu protokol keselamatan.

Hakikatnya, ia adalah fenomena universal. Boleh dikatakan semua negara atau Kerajaan di dunia menyediakan perkhidmatan tersebut.

Begitu juga dengan perkhidmatan seorang bodyguard.Saya sendiri awalnya,semasa berada dalam Kerajaan, tidak begitu selesa dengan adanya bodyguard yang sentiasa bersama kita. Tetapi itulah protokol keselamatan yang perlu saya hormati.

Sahabat saya itu juga berhujah perlunya mereka yang menggunakan khidmat polis pengiring keluar lebih awal demi nak mengelakkan kesesakan lalu lintas. Ia mungkin sebuah cadangan yang baik tetapi adakah ianya realistik?

Realiti pahit

Malangnya, kadangkala ada masalah dalam pelaksanaan cadangan tersebut bagi para anggota pentadbiran kerajaan seperti menteri dan timbalan menteri.

Kenapa?

Kerana kesibukan tugas dan kepadatan jadual seharian mereka mungkin menghalang mereka untuk keluar lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Itulah realiti pahitnya.

Saya percaya sahabat saya boleh bersetuju dengan saya sebab beliau juga pernah menjadi seorang timbalan menteri. Sahabat saya juga mencadangkan agar isu kesesakan lalu lintas diselesaikan jika tidak mahu terlewat. Ya, ia sebuah cadangan yang baik.

Tetapi, itu mungkin solusi jangka panjang. Realitinya, pada masa ini isu kesesakan lalu lintas mungkin bukan suatu yang boleh dengan mudah diselesaikan hanya dengan keluar lebih awal semata-mata.

Atas hujah-hujah saya di atas, dengan rendah diri saya tidak bersetuju dengan cadangan sahabat saya tersebut meskipun saya amat setuju perkhidmatan tersebut tidak sewajarnya disalahgunakan.

Saya percaya jika rakyat diberi info yang sebenar tentang keperluan perkhidmatan polis pengiring, mereka mungkin tidak menghadapi masalah untuk menerima realiti tersebut.

Baca juga: Iring anak Ahli Parlimen tanpa arahan, dua anggota trafik dipindah bahagian