Biro Undang-Undang) Parti Amanah Negara (KANUN) melihat tindakan Dato’ Sri Najib Tun Razak yang menyalahkan bekas Peguam Negara dan kerajaan Pakatan Harapan dalam isu tuntutan waris kesultanan Sulu yang telah merampas aset Petronas sebagai satu tindakan yang terdesak dan mengelirukan.
Tommy Thomas dalam bukunya, ‘My Story: Justice In The Wilderness (2021)’ (hlm 376-381) menjelaskan bahawa sewaktu beliau mula memegang jawatan pada tahun 2019 telah diberikan taklimat mengenai isu tuntutan ini. Antara lain, beliau menyatakan bahawa pada tahun 1878 wujud satu perjanjian antara Sultan Sulu dan British North Borneo Company (BNBC) untuk penyerahan tanah tanah dan perairan laut di Borneo Utara sebagai balasan pembayaran yuran tahunan. Setelah penubuhan Malaysia, perjanjian tersebut masih berkuatkuasa dan diwarisi oleh Kerajaan Malaysia. Wujud juga satu pengesahan yang dikenali sebagai 1903 Confirmation dengan pihak Sulu.
Pada tahun 1939, iaitu kira-kira 60 tahun selepas perjanjian asal wujud pertikaian mengenai siapakah yang patut menerima yuran tahunan itu antara waris Sultan Sulu setelah beliau mangkat. Waris-waris itu telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi di Sandakan. Hakim C.F.C Macaskie pada waktu itu mengesahkan bahawa kerajaan Borneo Utara mengakui kewajipan untuk pembayaran yuran tahunan itu dan pertikaian hanyalah mengenai siapakah waris yang berhak menerimanya. Kedua-dua dokumen Perjanjian 1878 dan Pengesahan 1903 telah diterima sebagai bukti di Mahkamah tersebut.
Pada tahun 2013, berlaku pencerobohan di Lahad Datu. Kumpulan pengganas itu mendakwa mereka mewakili Jamalul Kiram III yang mendakwa sebagai sultan Sulu. Lanjutan itu, kerajaan Malaysia di bawah Dato Sri Najib Tun Razak enggan meneruskan pembayaran. Tiada asas undang-undang yang kuat untuk kerajaan Malaysia menghentikan pembayaran tersebut. Waris-waris Sultan Sulu tidak berpuas hati dengan pemberhentian pembayaran itu setelah mereka menerimanya selama 135 tahun. Tiada juga bukti pengganas itu mewakili waris-waris dan pemberhentian itu adalah boleh dianggap sebagai mungkir janji oleh kerajaan Malaysia.
Pada tahun 2019, peguam waris-waris di London telah menghantar surat kepada kerajaan Malaysia untuk kerajaan Malaysia menyertai prosiding timbang tara (arbitration) di Sepanyol. Tindakan pemfailan di Sepanyol itu tidak berasas kerana sebelum ini pertikaian yang wujud telah diputuskan di Mahkamah Tinggi Sandakan pada tahun 1939 dan disebabkan hal itu sepatutnya hanya Mahkamah Tinggi Sandakan yang mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan apa-apa hal yang berbangkit.
Pada peringkat awal peguam British itu telah cuba untuk memohon kerajaan Britain melantik penimbang tara tetapi permohonan itu telah ditolak. Oleh itu, mereka telah mencuba nasib di Sepanyol. Tiada sebarang klausa dalam perjanjian 1878 atau 1903 yang berkaitan dengan penyerahan bidangkuasa pertikaian kepada penimbang tara khususnya di Sepanyol. Namun, asas yang dibuat oleh waris-waris Sulu itu menyatakan bahawa pertikaian itu adalah antara warganegara Filipina dan kerajaan Malaysia berkaitan dengan tanah yang berada di kawasan Malaysia dan pembayaran dalam Ringgit Malaysia.
Pada peringkat awal Malaysia ingin mengambil pendirian untuk tidak menghiraukan proses timbang tara di Sepanyol atas alasan bahawa tiada bidangkuasa. Namun, setelah mengkaji lanjut, Jabatan Peguam Negara telah melantik firma guaman di London yang mempunyai cawangan di Sepanyol dan setelah itu melantik peguamcara di Sepanyol secara terus untuk mewakili Malaysia.
Ini kerana, Malaysia telah menerima pakai Convention on Recognition and Enforcement of Arbitral Awards yang ditandatangani pada tahun 1958 di New York. Terdapat kira-kira 160 negara telah menandatangani Konvensyen itu dan ini bermakna mana-mana aset Malaysia yang berada di negara berkenaan mempunyai risiko untuk disita jika terdapat satu penghakiman terhadap negara tersebut.
Tommy Thomas selaku Peguam Negara juga bertindak untuk memfailkan satu injunksi di Mahkamah Tinggi di Sabah bagi menghalang perjalanan proses arbitrasi di Sepanyol. Semua kertas kausa telah diserahkan kepada peguam waris-waris tersebut di Sepanyol tetapi mereka tidak hadir dalam prosiding kes di Sabah.
Akhirnya, Mahkamah Tinggi Sabah telah mengeluarkan perintah bahawa apa-apa pertikaian perlu diputuskan di Mahkamah Tinggi Sabah dan satu injunksi juga telah dikeluarkan untuk menghalang prosiding arbitrasi di Sepanyol.
Setelah berlaku Langkah Sheraton dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, Jabatan Peguam Negara masih bertindak secara profesional dan meneruskan semua langkah-langkah yang dibuat oleh Tommy Thomas pada waktu itu termasuk untuk mendaftarkan injunksi itu di Sepanyol.
Walaupun pada waktu itu Tommy Thomas telah menyatakan bahawa kerajaan Malaysia masih berhasrat untuk meneruskan pembayaran kepada waris-waris Sultan Sulu tetapi peguam waris-waris itu menyatakan bahawa kini mereka menuntut jumlah berbilion-bilion atas asas bahawa bayaran RM5,300 setahun itu patut ditafsirkan sebagai bayaran pajak (lease payments) yang sepatutnya dikira daripada hasil minyak dan gas yang diambil daripada bumi Sabah semenjak tahun 1970-an atau secara alternatif sebagai pampasan kerana penamatan unilateral Perjanjian 1878 dan 1903 oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2013.
Tafsiran sebegini juga tiada asas yang kuat berdasarkan klausa dalam perjanjian tersebut dan pembayaran sebanyak RM5,300 itu telah berlangsung sebegitu lama tanpa bantahan waris-waris Sultan Sulu.
Pada 2 Mac, 2022 Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan satu kenyataan bersama berkaitan isu ini. Antaranya menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat. Tuntutan oleh waris-waris itu bukan bersifat komersil dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara.
Pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi di Madrid, Sepanyol telah memutuskan bahawa serahan notis untuk prosiding perlantikan penimbang tara adalah tidak sah dan akibat itu keputusan timbang tara oleh Dr Gondoza Stampa termasuk Final Award adalah tidak sah dan terbatal. Oleh itu award bertarikh 28 Februari 2022 oleh Dr Gondoza Stampa juga terbatal.
Walaupun begitu, tanpa pengetahuan Kerajaan Malaysia, peguam waris-waris telah cuba memintas keputusan ini dan mendapatkan perintah ex parte (sebelah pihak) di Paris, Perancis yang dikenali dengan Perintah Exequatur untuk mengiktiraf award Dr Gondoza Stampa.
Tujuannya adalah untuk mendapat Final Award. Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap Perintah Exequatur ini dan satu perintah penggantungan telah dikeluarkan oleh First President of Paris Court of Appeal pada 16 Disember 2021 .
Justeru, tindakan waris-waris itu yang menguatkuasakan Perintah Exequatur dan Final Award tanpa menghiraukan perintah penggantungan adalah bercanggah dengan undang-undang. Pihak Pendakwa Raya di Sepanyol juga telah memfailkan satu aduan jenayah terhadap Dr Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah dan gangguan professional (professional intrusiveness) dan Mahkamah Jenayah N. 40 telah memulakan siasatan jenayah terhadap Dr Gondoza Stampa.
Selanjutnya, pada 21 Mei 2022, Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah menyatakan bahawa Malaysia akan menghantar nota diplomati kepada 168 negara untuk menerangkan tentang hal ini dan untuk memitigasikan kemungkinan aset Malaysia akan disita.
Amat malang sekali sekarang ini rakyat Malaysia terpaksa menanggung beban ini disebabkan tindakan gopoh kerajaan Malaysia di bawah kuasa Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada tahun 2013 yang menamatkan pembayaran kepada waris-waris yang hanya berjumlah RM5,300 setahun dan akhirnya menanggung kos guaman yang tinggi dan risiko pembayaran pampasan berbillon ringgit.
Tidaklah kita ketahui sama ada Dato’ Sri Najib Tun Razak telah mendapatkan nasihat Peguam Negara ketika itu iaitu Tan Sri Abdul Gani Patail berkaitan hal ini atau hanya membuat keputusan tanpa nasihat perundangan.
Apa pun yang berlaku biarlah berlaku dan harus ditangani secara profesional. Adalah ditegaskan bahawa tindakan Tommy Thomas pada waktu itu telah dibuat secara profesional dan pendirian Tommy Thomas itu telah diikuti oleh kerajaan sekarang. Ini menunjukkan pendirian kerajaan Pakatan Harapan adalah sama dengan pendirian kerajaan pada masa ini.
Siapa pun yang menjadi kerajaan sekarang perlu menjaga kedaulatan negara. Apa yang kita khuatirkan adalah kesan daripada isu ini akan menimbulkan sentimen anti Malaysia khasnya oleh penduduk di wilayah Selatan Filipina dan pastinya ini akan menyemarakkan sentimen penduduk di Sabah sendiri yang akan menyebabkan berlakunya kekacauan di wilayah berhampiran.
Ini akan menjejaskan suasana geo-politik negara di saat pemerintahan yang lemah pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri sekarang. Di saat iklim ekonomi Malaysia dalam keadaan merudum maka jika berlaku kekacauan di Sabah dan perairan di sekitarnya pasti akan menjerumuskan Malaysia ke arah iklim ekonomi yang lebih parah.
Baca juga: Kecualikan kenaikan OPR ke atas golongan berpendapatan rendah