Kemiskinan haid di negara ini walaupun tampak tidak serius namun ramai wanita yang sebenarnya tidak berkemampuan untuk membeli tuala wanita ketika datang haid.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan inisiatif yang kecil ini sebenarnya boleh memberi impak yang besar dalam menangani isu berkaitan kesihatan menstrual dan sistem reproduktif wanita.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang menjelaskan mengapa inisiatif tersebut bermula di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya ingin menjelaskan bahawa inisiatif yang hendak dimulakan di Ibu Pejabat KKM adalah bagi melihat aspek pengoperasian serta maklum balas segera.
“Sekiranya berjaya, saya lihat ia boleh diperluaskan ke fasiliti-fasiliti kesihatan yang strategik dan melibatkan orang awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Beliau juga mengambil maklum balas di atas kekeliruan tersebut dan berterima kasih atas pandangan orang ramai mengenai inisiatif ini.
Orang ramai turut menyokong inisiatif tersebut dilaksanakan dan mengharap ia dapat diperluaskan di kawasan lain juga.
“Isu kemiskinan haid satu isu besar tapi ramai pandang remeh. Bayangkan begitu ramai wanita, remaja wanita tidak mampu beli tuala wanita. Ada yang terpaksa gunting kain untuk ganti tuala wanita tu. Saya sokong Dr. Zaliha.
“Sangat memahami intipati daripada usaha ini. Saya sangat bangga ada inisiatif ke arah kepentingan wanita. Sangat hargai sekiranya kita seterusnya perkasakan program family planning, dan pelbagai aktiviti untuk kesejahteraan wanita, keluarga dan negara.
“Mulakan di hospital kerajaan (wad bersalin) dan juga lampin bayi, nampak kecil tapi besar bagi yang tidak berkemampuan,” demikian antara pendapat pengguna Facebook.