Isu tukar status kolam takungan banjir di KL: SPRM siasat aspek kelulusan

Oleh ARIF ATAN

Tanda tanya berhubung pertukaran status enam kolam takungan banjir untuk tujuan pembangunan di Kuala Lumpur kini telah berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dilapor BH sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan tersebut susulan gesaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh minggu lalu.

Siasatan tersebut mencakupi pelbagai aspek berkaitan kelulusan, termasuk dakwaan pembangunan terhadap lokasi terbabit.

“SPRM sudah memulakan siasatan berhubung aduan banjir dibangkitkan. Siasatan dijalankan meliputi dakwaan kolam tadahan air ditukar status untuk tujuan pembangunan,” dipetik BH.

Pada 28 Disember lalu, Hannah menggesa SPRM mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam berhubung enam kolam takungan banjir di ibu negara yang didakwa diluluskan untuk tujuan pembangunan.

Menurutnya, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.

“Laporan berkenaan turut menyebut perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan menyebabkan berlaku pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur dan kesesakan lalu lintas.

“Kemungkinan pendedahan paling mengejutkan dalam laporan ini ialah enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan,” kata Hannah.