Malaysia Dateline

Itu pula disibukkan, akta anti lompat parti apa cerita, netizen persoal akta anti-mengendap

Orang ramai mempersoal bagaimana kedududukan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti ketika kerajaan ingin membentangkan RUU berkaitan jenayah intip dan hendap di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Kritikan warganet itu susulan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bahawa RUU tersebut kini di peringkat perincian terakhir di Jabatan Peguam Negara.

Bercakap kepada media selepas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 di Shah Alam hari ini, beliau berkata, RUU yang seiring dengan RUU Anti Seksual itu dijangka mampu melindungi mangsa khususnya wanita, daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.

Namun, rakyat dilihat mengkritik keutamaan kerajaan yang sepatutnya meluluskan terlebih dahulu RUU Anti Lompat Parti sebelum pilihan raya umum akan datang bagi menghentikan gejala ‘lompat’ dalam kalangan wakil rakyat.

“Akta anti lompat pun tak boleh nak selesai, lagi mahu buat baru punya anti mengendap,” kata Azman Abu Bakar manakala Wong Orep pula menulis, “mana akta lompat parti.”

Dalam masa sama, ada turut secara berseloroh membangkitkan isu bagaimana jika si suami yang menghendap isteri.

“Kalau suami mengendap bini macam mana pulak,” kata Zack.

Tidak kurang juga yang serius bertanyakan sama ada kerajaan ingin menggubal akta berkaitan menghina agama Islam.

“Akta hina agama Islam tak nak gubal ke?” soal Kamarudin Muda.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) bagi membolehkan peraturan anti lompat parti dilaksanakan diyakini mampu memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap ahli politik dan demokrasi negara.

Ini kerana kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, keyakinan rakyat pada masa ini terhadap kedua-dua perkara itu sedikit terhakis susulan tindakan wakil rakyat yang bertindak lompat parti secara meluas sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 26 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU Anti Lompat Parti akan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10, 48, dan penggubalan Artikel 49(a).

Jelasnya, pindaan turut akan dibuat dalam Perkara 160 dan Jadual Lapan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, RUU ini akan terpakai kepada Ahli Parlimen yang keluar dari parti yang dimenanginya dalam PRU untuk masuk ke parti lain.

Katanya, Ahli Parlimen yang bertanding sebagai calon bebas tetapi selepas menang kemudiannya menyertai parti politik lain juga akan terpakai bagi RUU ini.

Menerusi cadangan RUU itu juga, Wan Junaidi berkata, Ahli Parlimen yang disingkirkan daripada parti yang diwakili ketika menang PRU tidak perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka.

Bagaimanapun, cadangan pembentangan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen yang sudah dimuktamadkan Jawatankuasa Pilihan Khas itu sudah beberapa kali ditangguhkan.

Baca juga Akta Anti Lompat Parti: Tidak perlu mansuh Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan