Malaysia Dateline

‘Jadilah negarawan, ahli parti akan ikut kalau itu dapat keluarkan mereka dari kemelut’

Malaysia pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini memerlukan pemimpin yang bersifat negarawan dalam menyelesaikan kebuntuan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Bekas Menteri Luar yang juga mantan ahli majlis tertinggi Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kepentingan rakyat dan negara mesti diutamakan dalam rundingan antara blok parti untuk menuju ke Putrajaya.

“Biar rundingan kita berasaskan kepada hendak menyelamatkan negara, keluar dari ancaman pandemik (Covid-19) yang muncul dengan pelbagai varian, krisis ekonomi dan berhadapan dengan hambatan kemeseletan di peringkat global dan serantau.

“Kalau semua itu di depan, yang utama adalah negara dan rakyat, InsyaAllah kita akan dapat cara untuk menyelesaikan masalah,” katanya ketika menjadi panel jemputan di Awani malam tadi.

Dalam dialog bertajuk “Rundingan Bentuk Kerajaan, Siapa PM Ke-10?” itu, Syed Hamid berkata, hasil rundingan yang mengetepikan kepentingan politik kepartian semata-mata akan membuahkan kerjasama yang tulen.

“Kita tidak akan melihat orang ini, orang itu musuh kita tetapi kita mahu mencari satu kerjasama yang tulen dan dapat memercukan kejayaan negara kita untuk masa depan yang lebih baik, cerah dan disegani seperti Malaysia mainkan peranan di peringkat serantau dan antarabangsa,” tegasnya.

Ditanya mengenai reaksi penolakan ahli-ahli politik terhadap kerjasama dalam membentuk kerajaan gabungan, beliau berpendapat ada beza ciri seorang pemimpin dengan pengikut.

“Saya menganggap peranan pemimpin adalah memimpin bukan untuk dipimpin. Kalau pemimpin dipimpin, dia dah jadi pengikut.

“Dia kena pimpin, kena bentuk, kena ambil keputusan-keputusan yang ada masanya radikal bukannya hendak jadi popular.

“Kita hendak tentukan kita dapat melaksanakan aspirasi negara kita dengan rakyat di negara kita yang lebih baik,” ujarnya.

Kenyataan bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Menteri Dalam Negeri itu ketika permohonan ketua parti dan gabungan parti politik untuk melanjutkan tempoh masa bagi rundingan pembentukan kerajaan pasca PRU15 diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Istana Negara memberi tambahan sekurang-kurangnya 24 jam lagi sehingga jam 2 petang ini untuk memuktamadkan perkara tersebut serta pemilihan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Dalam PRU15 lepas, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing 73 dan 30 kerusi.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, masalah yang perlu diatasi pada masa ini dengan sifat sebagai negarawan adalah tidak mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

“Kalau lihat demokrasi di negara luar seperti Korea, Taiwan, Jepun, mereka lebih radikal dan agresif.

“Kita tidak boleh katakan “No Anwar, No DAP, No Bersatu”. Masalahnya, mereka tidak mempunyai majoriti mudah.

“Kita bukannya pilih Anwar, pilih DAP. Tidak. Kita pilih kepentingan negara. Kita lihat apa yang terbaik untuk negara.

“Saya fikir ahli-ahli parti akan ikut kalau itu dapat mengeluarkan mereka dari kemelut ekonomi, dapat menambah peluang-peluang pekerjaan, dapat menentukan ada duit dalam poket.

“Saya lihat ada bezanya pada orang yang menganggap dirinya negarawan atau pengikut kepada negarawan.

“Kita kena mula menggariskan kepada rakyat apa yang terbaik untuk negara, dengan siapa pun kita perlu bekerjasama kita kena kerjasama kalau itulah boleh mencapai kebaikan untuk negara,” kata Syed Hamid lagi.

Baca juga Mabuk candu PRU15 – Patut sekarang tumpu usaha penyembuhan

Baca juga Sentuh sentimen perkauman dan agama, Ketua Polis Negara bagi amaran hentikan provokasi di sosial media