Jamu selera di Hari Raya, ini pesanan adab sebagai tuan rumah dan tetamu

Oleh ARIF ATAN

Kemeriahan Syawal masih lagi terasa dengan pesta jamu selera di rumah terbuka Hari Raya. Orang kata, Raya ‘kan sebulan.

Keseronokan Aidilfitri tahun ini lebih berganda selepas dua tahun ‘terkurung’ kerana penangan wabak Covid-19.

Namun, dalam keghairahan menikmati juadah di rumah terbuka, tetamu perlu juga ingat orang belakang dan ajar anak jangan fikirkan perut diri sendiri saja.

Dalam masa sama, tuan rumah juga tidak harus terlalu berkira bahkan patut gembira dan bersyukur melihat makanan yang terhidang habis dinikmati oleh mereka yang bertandang.

Ikuti pandangan DR SAKINAH SULONG berhubung adab yang perlu diberi perhatian sebagai tetamu mahupun tuan rumah ketika rumah terbuka Aidilfitri:

Sebenarnya dalam berziarah Hari Raya ni, ada adab-adab nak kena jaga. Baik sebagai tuan rumah mahupun yang datang berziarah terutama bagi orang Melayu, yang kaya budi bahasa.

Tuan rumah, kalau boleh kena anggar betul-betul makanan yang nak dihidangkan kepada tetamu. Kalau juadah udang contohnya, memang kegemaran ramai, jadi jarang dihidang dalam rumah terbuka melainkan kalau betul-betul orang berada.

Adakalanya bila dah habis lauk, kenalah sedia ada Plan B. Keropok, kuih atau mi goreng, dah kena usahakan. Jangan biar tetamu balik dengan perut kosong.

Tetamu pula, kena pesan juga pada anak-anak agar jaga adab di rumah orang. Jangan gelojoh sangat makan tidak berhenti.

Orang kata, sampai tak ingat orang belakang. Sebab ini bukan dihidang untuk kita saja ‘kan. Nanti orang yang datang kemudian dah tak dapat merasa.

Satu lagi, dalam beripai duai ni, kalau boleh, jangan simpan dalam hati sangat kalau nak jaga hubungan. Ada orang memang mulutnya tidak bertapis. Laju saja dia menegur tapi janganlah sampai ia memutuskan silaturahim.

Kita datang berziarah nak bermaaf-maafan dan eratkan tali persaudaraan. Kalaulah orang itu kita benci sangat, tak payahlah jemput atau hadir jemputan dia. Senang!

Baca Elak sesak di lebuh raya selepas cuti Aidilfitri, ini tips bila waktu sesuai mulakan perjalanan