Jangan datang tambah bebankan pesakit, ini 13 tips ziarah orang sakit

Oleh ARIF ATAN

Menziarahi orang sakit memang dituntut tetapi janganlah kedatangan kita tambah bebankan pesakit pula.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada lima iaitu menjawab salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazahnya ke perkuburan, menerima undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)​

Pesakit yang diziarahi jika betul adabnya sekurang-kurangnya tenang jiwa dan reda rusuh hatinya tatkala terlantar sama ada di rumah atau hospital.

Cara terbaik untuk menziarahi orang sakit ialah bersegera datang sebaik mendengar berita sakitnya.

Ikuti 13 tips melawat pesakit seperti dikongsikan FARHANA YUSOF ini:

1. Pasang niat yang ikhlas untuk ziarah atas rasa hormat dan kasih sayang.

2. Maklum terlebih dahulu hasrat dan waktu nak ziarah pada keluarga pesakit dan pastikan melawat pada waktu yang sesuai sahaja.

3. Jumlah pelawat yang kecil lebih baik daripada jumlah pelawat yang ramai datang sekaligus kerana bimbang pesakit tidak selesa.

4. Bawa buah tangan. Sekiranya pesakit tak makan, orang yang menjaga dan keluarga pesakit boleh makan. Keluarga pesakit turut terkesan dengan ujian ini.

5. Berikan nasihat yang baik-baik. Tapi jangan berlebih-lebih hingga mengalahkan doktor bertauliah.

6. Ucapkan perkara-perkara baik. Jangan bergosip atau bercakap perkara yang sia-sia seperti keburukan orang lain atau pun hal dunia terutama kepada pesakit yang sedang nazak. Jangan juga bertanya kepada pesakit tidak henti-henti macam sedang membuat sesi soal siasat. Kena banyak empati, sensitif dan paling penting ada ilmu adab ziarah orang sakit.

7. Mengusap lembut tubuh yang sakit dengan mengambil kira adab dan aurat.

8. Sentiasa tanya dan cuba hulurkan bantuan.

9. Elakkan mengambil gambar atau merakam video pesakit. Kalau diizinkan sekalipun pastikan gambar yang sesuai dikongsi di media sosial dengan tujuan meuar-uarkan kepada keluarga dan rakan-rakan untuk memohon sedekah doa/bantuan.

10. Singkatkan masa melawat dan jangan melawat terlalu kerap. Malam, tak payahlah datang. Yang sakit nak berehat, tukang jaga pun nak rehat.

11. Jangan ambil atau pinjam barang pesakit tanpa izin seperti telefon bimbit.

12. Kalau di hospital, jangan bergurau berlebihan dan buat bising hingga mengganggu pesakit lain.

13. Jangan buka aib atau cerita perkara-perkara tak elok tentang pesakit sebaik selesai ziarah.

Baca juga Sungai Furat makin kering, ini nasihat ustaz supaya kita bersedia

Baca juga Pemanasan global makin serius, Ikon Ais Kutub Utara lihat sendiri banyak bongkah ais pecah dan hancur