Jangan hanya sanggup bermain kutu untuk membeli tupperware dan juga thermomix tetapi tidak sanggup menyimpan wang untuk ibadah korban yang dilaksanakan setahun sekali.
Ya, tidak dinafikan ramai yang tidak terfikir untuk bermain kutu atau buat simpanan untuk ibadah korban kerana ia adalah sunat muakkad sahaja.
Jika kita ada kesungguhan untuk melaksanakan ibadah ini, walaupun tidak bergaji atau hanya sekadar berniaga secara kecil-kecilan ianya tidak menjadi penghalang.
Malah ada yang bergaji lima angka sebulan tetapi kesungguhan tidak ada, ibadah korban tidak dapat dilakukan bahkan tertangguh-tangguh pula.
Ia seperti mana yang diceritakan seorang wanita ini yang dikenali Faizah Ahmad di mana beliau menceritakan pelajaran di sebalik kesungguhan melaksanakan ibadah korban, apabila makcik di kampung hanya menjual kuih bahulu tetapi tiap-tiap tahun tidak pernah lupa membuat korban.
Ini catatan beliau;
“Kak Dah, betul ke semua orang kampung buat korban?” saya bertanya dengan perasaan tidak percaya.
Kakak saya mengangguk.
Saya bertanya lagi, “Orang rumah depan kat jalan tu pun ke?”
Kakak saya mengangguk lagi.
“Serius ke Kak Dah?” masih lagi tersisa perasaan tidak percaya saya.
“Ya, sini kami buat main kutu. Diorang setiap kali dapat duit jualan kuih bahulu terus saja beri duit untuk simpanan korban. Lama dah kita start main kutu. Dari tahun lepas lagi. Bila sampai waktu raya Korban, cukup duit,” jelas kakak saya.
Allahu Akbar. Saya terlopong. Terasa bagaikan mahu lari menyorok muka. Sungguh saya berasa sangat malu.
Kisah ini saya dengar beberapa tahun yang lampau. Saya bagaikan tertampar mendengar kisah orang kampung kakak saya.
Ada di antara mereka bukanlah orang yang senang. Bekerja sendiri, ada yang menjual kuih bahulu, ada yang membaiki dan membuat wayering rumah orang. Gaji mereka bukan ribu-ribu setiap bulan.
Rumah mereka rumah orang kampung yang biasa-biasa saja. Ada yang hanya ada basikal saja.
Ada yang rumahnya tidaklah penuh seperti rumah kebanyakkan orang yang ada serba serbi.
Namun mereka bersungguh-sungguh mahu melaksanakan ibadah korban ini biarpun mereka bukan orang senang.
Saya bagaikan tertampar sendiri apabila mengetahui kisah itu. Sedangkan saya gaji empat angka setiap bulan, punya kereta, selalu makan sedap, tetapi saya tidak melakukan sunat muakkad ini, iaitu sunat yang sangat dituntut dalam agama.
Jika mengikut Mazhab Imam Syafie, ibadah ini adalah sunat muakkad. Tetapi jika mengikut Mazhab Imam Hanafi, ibadah korban sampai hukum wajib.
Sungguh, Allah menegur saya melalui kisah itu. Semenjak itu saya berusaha untuk melakukan ibadah Korban pada setiap tahun.
Saya teringat satu lagi kisah yang sangat menarik dan menyentuh rasa.
Saya teringat seorang rakan saya hendak melakukan ibadah Korban. Pada tahun lepas, Bonda Nor telah membuka peluang kepada circle Bonda Nor untuk melakukan ibadah Korban dengan melalui Team Ustazah Asma Harun.
Lantas cepat-cepat saya menghubunginya.
“xxx, nak tak join Korban? Bonda buka peluang. Boleh buat dengan serendah RM350, dan boleh buat bayaran ansuran.”
Sungguh, saya tersentak mendengar jawapannya.
“Tak apalah. xxx nak pilih yang kambing yang paling besar dan mahal. Sikit lagi ini nak cukup tabungan xxx.”
Sekali lagi Allah menegur saya.
Kawan saya itu hanyalah seorang suri rumah. Ketika itu dia sedang bergelut dengan masalah kewangan keluarga.
Namun beliau berusaha dengan melakukan jualan secara online dan menjadi ejen untuk salah sebuah perniagaan.
Misinya mahu mengumpulkan duit sebanyak RM1200 untuk kambing terbaik untuk dikorbankan di Malaysia.
Sebelum tarikh tutup penyertaan Korban, kawan saya itu berjaya melakukannya dengan nilai kambing sebanyak RM1200.
Allahu Akbar.
Pelajaran kedua yang saya perolehi adalah kesungguhan untuk memberi korban yang terbaik kepada Allah SWT.
Saya teringat kisah korban antara Habil dan Qabil. Habil telah memberikan korban kambing yang paling elok dan gemuk untuk dipersembahkan.
Manakala Qabil memberikan hasil pertaniannya yang telah rosak selain korbannya atas dasar hasad dengki. Korban Habil telah diterima oleh Allah SWT.
Sebelum itu saya memilih membuat Korban tetapi tidak bersungguh sangat dengan harganya. Biasanya saya memilih harga yang rendah atau sedang sahaja.
Sungguh saya sangat terinspirasi dengan beliau sehingga teguran itu membawa saya mengikut jejak langkah beliau dengan memilih kambing yang besar dan paling mahal juga.
Selepas hampir setahun selepas itu, saya mendapat tahu bahawa Allah membalas kesungguhan beliau dalam mengumpul duit itu dengan rezeki yang berganda-ganda.
Tanpa diduga, selepas hari Raya Aidiladha, ada sebuah kisah yang membuatkan amaun dalam akaunnya telah beranak pinak sehingga kepada lima angka.
Allahu Akbar.
Allah membalas keikhlasan dan kesungguhan beliau untuk berkorban dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat sebagai saksi dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, berbahagialah dirimu dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)
Jika kalian melakukan korban pada tahun ini, tahniah. Namun jika tiada kemampuan pada kali ini, usahakanlah untuk tahun hadapan.
Jika kita sanggup bersungguh bermain kutu untuk beli tupperware, untuk beli periuk batu, untuk beli Thermomix, apa salahnya jika kita juga menyimpan wang untuk melaksanakan amalan yang sangat dituntut dalam agama kita ini.
Usahakanlah. Anda mampu!
Baca juga: Beza umur 33 tahun bukan penghalang, anak murid nikahi guru sendiri
Baca juga: Penganjur puas hati kepala, kaki, perut lembu dibawa pulang, tidak membazir