Jangan hanya tunggu Hari Raya, ustazah ini kongsi 7 tips dapatkan redha ibu bapa ketika berhijrah

Oleh ARIF ATAN

“Ayah dan ibu, itulah permulaan kami, dapat melihat bulan dan matahari, yang dikurniakan dari Ilahi, ayah dan ibulah mesti dihormati”.

Itu antara lirik lagu klasik malar segar berjudul “Ayah Dan Ibu” nyanyian biduan A. Rahman pada akhir tahun 1940-an sebelum dirakam kembali oleh Sudirman Haji Arshad pada tahun 1991.

Namun, bagaimana jika seseorang anak itu terpaksa berhijrah meninggalkan orang tua terutama selepas mendirikan rumah tangga atau demi tuntutan kerja? Apa yang patut sebagai seorang anak wajib lakukan sementara hayat ibu bapa masih ada?

Ikuti 7 tips untuk mendapatkan redha ibu bapa ketika proses berhijrah seperti dikongsikan USTAZAH ASMA’ HARUN ini:

Kadang-kadang kita sanggup bermatian untuk membuktikan bahawa kitalah orang yang paling sempurna di mata manusia.

Malangnya, kita terlupa bahawa salah satu cara untuk kekal istiqamah dalam penghijrahan adalah tampil sempurna di mata mereka yang paling hampir, iaitu ibu bapa kita.

Sahabat, tanpa redha mereka, hidup kita pasti huru-hara. Mereka mungkin tidak sempurna, namun merekalah orang yang melahirkan dan membesarkan kita dengan tulang empat kerat.

Jika kita korbankan segala harta dan tenaga sekalipun, jasa mereka tetap tidak akan terbalas.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!” lalu baginda ditanya; “Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?” Jawab Nabi SAW: “Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah seorang dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya).”
(HR Muslim, Hadis Sahih)

Allahu Akbar, betapa indahnya apabila kita berhijrah, redha dan doa Ibu Bapa mengiringi penghijrahan tersebut. Pasti langkah kita akan lebih kuat kerana redha mereka seiring dengan redha Allah SWT.

Saya ingin kongsikan tips untuk mendapatkan redha kedua-dua ibu bapa ketika proses berhijrah.

1. Meminta maaf

Antara punca hati tidak tenang apabila ada perbuatan atau perkataan kita yang MENYAKITI IBU AYAH. Walaupun mereka diam, hati kita tidak boleh menafikan bahwa mereka sedang terluka kerana kita. Mengalah, sabar dan mohon maaf itu lebih baik walau kita tidak bersalah.

2. Berbuat baik dan gembirakan hati mereka

Selain meminta maaf, berbuat baiklah kepada mereka dengan apa cara sekalipun, sekiranya mampu berikan hadiah penghargaan, berikan apa yang mereka suka. SubhanAllah, di saat itulah sebenarnya kegembiraan mereka adalah kegembiraan kita.

Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda:
أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya, dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau masukkan kepada diri seorang muslim.”
(HR Tabrani, hadis hasan)

3. Mengucapkan perkataan yang baik

Gunakanlah nada yang rendah ketika berbicara dengan mereka, sopan santun dan tidak meninggikan suara supaya hati mereka tidak terguris dengan kata-kata kita.

Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapak. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.”
(Surah al-Isra` 17:23)

4. Bersikap penuh lemah lembut dan kasih sayang

Ibu bapa mana yang tidak berlembut hati melihat sikap anaknya yang sopan santun dan berakhlak mulia?

Sebagai anak, berusahalah menjaga hati mereka, jangan biarkan mereka terguris hati dan kecewa dengan kita sama ada secara sedar atau tidak.

Firman Allah SWT:

وَوَصَّيْنَا الْاِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِۚ حَمَلَتْهُ اُمُّهٗ وَهْنًا عَلٰى وَهْنٍ وَّفِصَالُهٗ فِيْ عَامَيْنِ اَنِ اشْكُرْ لِيْ وَلِوَالِدَيْكَۗ اِلَيَّ الْمَصِيْرُ
Maksudnya: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.” (Surah Luqman 31:14)

5. Sentiasa berhubung walaupun berjauhan

Hakikat ibu bapa pasti merindukan anak-anaknya ketika berjauhan. Maka, banyakkan menghubungi mereka untuk bertanya khabar supaya mereka tidak sunyi.

Pada usia yang lanjut, kebiasaannya mereka tidak sesibuk ketika masih muda dahulu.

6. Mendoakan mereka

Berjauhan atau di depan mata, jangan sesekali terputus mendoakan mereka. Doakan mereka sentiasa diampuni dosa, dalam peliharaan Allah Ya Wali, diterima segala amal solehnya dan dimasukkan ke dalam Syurga Firdaus tanpa hisab, tanpa azab. InsyaAllah.

Mungkin ada dalam kalangan kita sudah usaha sehabis baik meluangkan masa bersama mereka di kampung, tetapi sering terhalang disebabkan faktor tertentu. Lalu terpaksa membatalkan hasrat ingin bertemu melepaskan rindu. Maka doalah menjadi penghubung yang kuat.

7. Bersabar dengan mereka

Ketika kita kecil, ibu ayah terlalu banyak bersabar dengan kita. Kini adalah waktunya untuk kita bersabar dengan mereka yang semakin dimamah usia.

Firman Allah SWT:
وَاِنْ جَاهَدٰكَ عَلٰٓى اَنْ تُشْرِكَ بِيْ مَا لَيْسَ لَكَ بِهٖ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِى الدُّنْيَا مَعْرُوْفًا ۖوَّاتَّبِعْ سَبِيْلَ مَنْ اَنَابَ اِلَيَّۚ ثُمَّ اِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَاُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ
Maksudnya: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan bergaullah dengan keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah Luqman 31:15)

Sahabat, mudah-mudahan Allah kurniakan kekuatan kepada kita semua dalam menjadi anak yang mentaati kedua Ibu Bapa, lalu memasukkan kita ke dalam Syurga asbab berkhidmat kepada mereka.

Mari sama-sama kita berdoa agar urusan kita semua dipermudahkan oleh-Nya. 🤲🏻
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا
Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”

Semoga memberi manfaat buat kita semua.

Baca juga Congkak budaya universal, dari Asia hingga Eropah ada versi tersendiri

Baca juga Gara-gara terima hadiah cermin mata, pembantu penguatkuasa PBT ditahan SPRM