Malaysia Dateline

‘Jangan pilih pemimpin yang hanya perlekeh agama’ – Khutbah Jumaat di Selangor seru ambil iktibar ketidakstabilan kerajaan lalu

Khutbah Jumaat di seluruh masjid di Selangor hari ini mengingatkan pengundi agar jangan memilih pemimpin yang hanya memperlekeh agama.

Menerusi tajuk “Pemimpin dan Masa Depan”, khatib berkata, bukti sudah menunjukkan ramai pemimpin yang meletakkan perjuangan atas dasar agama, memelihara bangsa, mempamerkan ketelusan dan amanah tetapi setelah berkuasa segalanya berubah.

“Hakikatnya, ketika berkuasa, hanya berlaku tindakan menjaga kepentingan kelompok dan kekuasaan, balas dendam dan saling menyalahkan sejarah masa lalu.

“Apabila berkuasa, agenda menjaga Islam dan hak orang Islam bertukar kepada membela individu tertentu atau kelompok sendiri berbanding membela rakyat.

“Hasilnya, gagal menjaga kesatuan bangsa, kestabilan politik dan kehormatan negara sebagaimana didambakan oleh kita semua,” tegasnya.

Mimbar turut menyentuh soal manifesto sebagai penyataan perancangan atau janji seorang pemimpin dari kumpulan tertentu yang memperincikan peranan dan perubahan yang akan dilaksanakan pada masa depan.

“Manifesto tidak boleh hanya menjadi alat atau janji dalam mempengaruhi minda serta persepsi rakyat tentang masa depan.

“Jangan kerana keghairahan kuasa yang bakal dimilik oleh pemimpin, manifesto populis dibuat untuk menduduki puncak kuasa dan hakikatnya membohongi rakyat semata-mata.

“Akhirnya manifesto dikatakan bukan ‘kitab suci’ yang wajib dipatuhi,” ujarnya.

Sehubungan itu, khatib menasihatkan supaya manifesto perlulah realistik dan bersifat komprehensif yang meliputi setiap aspek keperluan rakyat dan masyarakat, kestabilan politik, keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Janji masa depan adalah terlalu berharga bagi rakyat dan negara untuk dikorbankan demi mencapai matlamat politik jangka pendek individu atau kumpulan tertentu.

“Sesungguhnya kepentingan Islam, Melayu, umat Islam dan Bumiputera sangat perlu diutamakan.

“Kedudukan Raja-raja Melayu, institusi agama dan hak-hak orang Melayu wajib dipertahankan, dalam masa yang sama tidak meminggirkan hak-hak agama dan bangsa lain,” dipetik dari khutbah itu lagi.

Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selain Pulau Pinang dan Negeri Sembilan memutuskan tidak akan membubarkan DUN masing-masing bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Tiga lagi negeri yang sama berbuat demikian ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Lebih 21 juta rakyat layak dan terdaftar sebagai pengundi dalam PRU15 yang dijangka menelan kos lebih RM1 bilion berbanding siri PRU sebelum ini yang membabitkan nilai ratusan juta ringgit.

Jumlah itu dua kali ganda kos pelaksanaan PRU14 iaitu sekitar RM500 juta, manakala perbelanjaan PRU13 adalah kira-kira RM400 juta.

Baca juga Lebih 21,000 kes maut di Malaysia, WHO sahkan kematian akibat penyakit ini meningkat sejak wabak Covid-19

Baca juga PH lancar manifesto ‘Tawaran Harapan Kita Boleh’, Rabu depan