‘Jangan terkejut nanti Ipoh jadi seperti Bollywood’ – Ini hasrat Datuk Bandar dalam tempoh 10 tahun

Oleh ARIF ATAN

“Jangan terkejut suatu hari nanti, Ipoh akan menjadi seperti Bollywood di Mumbai.”

Itu kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang berhasrat menjadikan bandaraya yang bermula sejarahnya di tebing Sungai Kinta tersebut sebagai hub perusahaan menghasilkan filem bertaraf antarabangsa seperti Mumbai, India.

Pengerusi PINCER MBI Studio Sdn Bhd itu berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang mengatur rancangan secara berperingkat bagi menjalin kerjasama dengan beberapa negara demi mencapai sasaran itu.

“Kita sedang memberi fokus untuk menjadikan Ipoh sebagai bandaraya pelancongan, seni dan kreatif.

“Kita akan memulakan sedikit demi sedikit. Matlamatnya, dalam tempoh 10 tahun Ipoh akan menjadi antara pusat penggambaran filem terbaik sekurang-kurangnya di Asia Tenggara,” dipetik BH Online.

Bandaraya Ipoh dikenali dengan banyak bangunan warisan bercirikan zaman kolonial kesan daripada aktiviti perlombongan bijih timah mulai sekitar tahun 1880-an seperti Stesen Kereta Api Ipoh, Memorial Perang Perak, Tugu Memorial Birch, Masjid Padang Bandaran (Masjid India), Masjid Dato’ Panglima Kinta dan Bangunan HSBC.

Ekoran ciri klasik deretan bangunan klasik itu, Ipoh yang ditulis sebagai Epau atau Epu dalam peta negeri Perak yang dikeluarkan oleh Inggeris pada tahun 1789 menjadi lokasi penggambaran sejumlah filem tempatan dan antarabangsa seperti Sepet (2005) dan Anna and the King (1999).

Mengulas lanjut, Rumaizi berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan China untuk menjalankan lebih banyak penggambaran filem di bandaraya ini.

“Insya-Allah, akhir tahun ini kita akan bermula dengan dua atau tiga filem,” jelasnya pada majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia di Ipoh, baru-baru ini.

Baca juga Adakah terdapat agenda tersembunyi di Bukit Kledang, soal MP Ipoh Barat

Baca juga Masa cuti sekolah je semua jadi harga yahudi, netizen tak puas hati peniaga naik harga tinggi