Malaysia Dateline

Janji temu di fasiliti KKM guna apps MySejahtera

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan sistem janji temu orang ramai dan fasiliti primer kementerian itu menggunakan aplikasi (apps) MySejahtera dijangka akan mengurangkan kesesakan dan menyingkatkan masa menunggu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata penggunaan aplikasi tersebut sejajar dengan pelan strategik pendigitalan 2021 – 2025 KKM di bawah Teras Strategik 2 bagi pemantapan teknologi baharu.

“(KIta) mengambil kira masa menunggu yang lama, sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera yang sedia ada di semua fasiliti kesihatan primer akan diperluaskan sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan, dan akses klien di fasiliti kesihatan primer,” kata Dr Zaliha dalam kenyataannya.

Perkhidmatan yang akan dimasukkan dalam sistem janji temu tersebut, kata beliau adalah seperti rawatan pesakit luar; inisiatif saringan kesihatan kebangsaan (NHSI); saringan kesihatan PeKa B40; pemeriksaan kesihatan pra pekerjaan/ pra pengajian; saringan pra perkahwinan; khidmat berhenti merokok; perkhidmatan perancang keluarga dan prosedur (rawatan luka, penukaran tiub dll).

“Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 klinik kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.

“Sistem janji temu ini bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu

“Antara kelebihan sistem janji temu atas talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa. Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan,” katanya lagi.

Sistem tersebut juga, tambah Dr Zaliha mempunyai fungsi automated reminder supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang telah ditempah.

Bagaimanapun, untuk kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan tanpa perlu membuat temu janji aplikasi MySejahtera bagi tahun 2023 kerana ia telah mula sepenuhnya dan tempahan boleh dilakukan dengan bermula hari ini.

“Dengan pendigitalan perkhidmatan KKM ia dapat mempromosi program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat secara lebih berkesan, serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien,” kata Dr Zaliha lagi.

BACA JUGA Menteri Kesihatan bakal duduk semeja dengan doktor kontrak