Malaysia Dateline

Menteri Kesihatan bakal duduk semeja dengan doktor kontrak

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bakal duduk semeja dengan Gerakan Hartal Doktor Kontrak (GHDK) bagi membincangkan isu berkaitan pegawai perubatan kontrak dan beberapa tuntutan lain kepada kerajaan.

Masalah berlarutan dialami kumpulan doktor kontrak terbabit menyaksikan mereka melakukan mogok besar-besaran di seluruh negara pada Julai tahun lalu menuntut hak sama seperti pegawai perubatan lantikan tetap.

Jurucakap GHDK, Dr. Muhammad Yassin berkata, beliau telah dihubungi Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan, Napsiah Khamis Maharan untuk menetapkan satu perjumpaan bersama doktor-doktor kontrak nanti.

Menurutnya, perbincangan akan lebih tertumpu kepada apa yang dibincangkan bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk menyelesaikan isu doktor kontrak seperti perjawatan tetap.

Dr. Zaliha Mustafa

“Setiausaha politik ada hubungi saya nak buat perjumpaan tetapi masanya belum diketahui lagi. Mungkin pada minggu depan.

“Semasa dihubungi, beliau (Napsiah) tanyalah apa yang berlaku antara kami dan Menteri Kesihatan terdahulu, Khairy Jamaluddin kerana sebelum ini kami telah berjumpa beliau dua kali. Jadi, nak tahu apa maklumat diperoleh semasa perjumpaan sebelum ini.

“Jangkaan perjumpaan nanti kita akan melihat isu-isu doktor kontrak seperti perjawatan tetap, Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan pelan jangka panjang Kementerian Kesihatan,” dipetik Utusan Malaysia.

Sebelum ini, dilaporkan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memastikan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara ditubuhkan dalam tempoh lima tahun pentadbirannya.

Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuat tawaran berhubung reformasi kesihatan bagi menangani masalah dihadapi doktor-doktor perubatan yang masih berstatus kontrak.

Baca juga Menjelang 19 Disember: Ini 9 perkara anda perlu tahu tentang Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim