Jika menteri Kabinet cemerlang 100 hari pertama seiring PM10, ‘tsunami’ PN mampu disekat

Oleh ARIF ATAN

Yakinlah bahawa gelombang tsunami hijau-biru mampu dinyahkan semaksimum mungkin sekiranya menteri Kabinet seiring dengan Perdana Menteri (PM) ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai kecemerlangan dalam 100 hari pertama pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, beberapa tindakan yang telah dan sedang diambil oleh PM diyakini mampu meminimumkan sokongan terhadap gelombang hijau biru tersebut.

“Sebetulnya gelombang atau tsunami hijau biru-PN Best itu telah mencapai kemuncaknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dan tidak mustahil akan menurun menjelang pilihan raya negeri (PRN) tahun 2023 nanti.

“PRN 2023 akan melibatkan Kelantan, Terengganu dan Kedah yang diterajui oleh Pas sebagai Menteri Besarnya.

“Sementara itu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang dipimpin oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Harapan (PH) akan turut terlibat dalam persaingan terbabit.

“Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Padang Serai merupakan PRK pertama selepas PRU15 yang menyaksikan PN masih berada di puncak hasil fitnah dan propaganda Islam terancam serta DAP kafir harbi yang mereka mainkan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dr Zaidi Zakaria

Pengarah Penerangan dan Komunikasi PH Pulau Pinang itu berkata, fitnah dan propagandaPN itu selari dengan matlamat menghalalkan cara mahu pun idealise Machiavelli.

Padahal, bidasnya, fitnah dan propaganda sedemikian adalah dilarang diamalkan dalam Islam kerana tiada barakahnya walaupun yang mengamalkannya adalah ulama-ulama parti.

Lebih mengelirukan katanya, apabila ulama-ulama parti tidak mengaudit punca kehadiran wang berjuta-juta ringgit semasa PRU ke-15 meskipun sudah memahami adalah sewajarnya sebagai seorang Muslim kesahihan sumber halalnya merupakan satu kemestian.

Tambah beliau, adalah dipercayai dalam PRU ke-14 dan PRU yang ke-15, parti Islam terbabit ditaja sepenuhnya oleh parti Melayu yang terdesak dan gila kuasa tatkala itu.

Sebagai bukti, apabila ditaja oleh parti Melayu keris, jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi mereka adalah 158 kerusi dan menang 18 kerusi sahaja iaitu 3 di Kedah, 9 di Kelantan dan 6 di Terengganu.

Dalam PRU ke-15 kata Zaidi, Pas ditaja pula oleh parti Bunga Raya sehinggakan kelihatan gah dengan bendera dan poster yang amat luar biasa.

“Ini termasuk menggunakan ‘influencer’ terutamanya ‘influencer Tik Tok’ bagi mempengaruhi pengundi muda yang berusia antara 18 hingga 21 tahun,” katanya.

Namun begitu, garapan terkini yang telah berjaya dipertontonkan oleh PM10 menyaksikan berpusu-pusu lebai telah menyambut kehadiran beliau semasa turun padang melawat kawasan banjir di Kelantan serta ianya amat memberangsangkan.

Menurutnya, dengan beberapa tindakan terkini PM10 adalah diyakini gelombang hijau biru tersebut akan berkurangan gahnya dan lenyap dengan perlahan-lahan tidak lama lagi.

Yang pasti ujar beliau, barisan kabinet harus pantas bergerak laju sepertimana yang dipraktikkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM10 supaya rakyat terus yakin serta menaruh harapan bahawa Kerajaan Perpaduan mampu merealisasikan aspirasi yang diharapkan jika dibandingkan dengan kerajaan pimpinan PN terdahulu.

Baca juga Tidak seperti era PN, Kerajaan Perpaduan komited akan selesaikan masalah rakyat